Pelabur asing kembali sebagai pembeli bersih ekuiti RM394.5 juta minggu lepas - MIDF
Bernama
Julai 9, 2024 15:03 MYT
Julai 9, 2024 15:03 MYT
KUALA LUMPUR: Pelabur asing kembali sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia minggu lepas selepas penjualan bersih selama dua minggu, dengan belian bersih ekuiti berjumlah RM394.5 juta berbanding jualan bersih RM357.7 juta pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).
Menerusi laporan aliran dana mingguan, firma penyelidikan itu menjelaskan pelabur asing membuat belian setiap hari pada minggu lepas, dengan sebahagian besar aliran masuk dicatatkan pada Rabu dan Khamis, masing-masing pada RM259.4 juta dan RM86.3 juta.
Sektor yang merekodkan aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas adalah pengangkutan dan logistik (RM152.9 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM151.5 juta) dan teknologi (RM93.6 juta).
"Sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM91.1 juta), pembinaan (RM28.6 juta) dan perladangan (RM27.2 juta)," katanya.
MIDF berkata institusi tempatan terus melaksanakan peranan mereka untuk menyokong bursa tempatan dengan pembelian bersih berjumlah RM32.2 juta minggu lepas.
Bagaimanapun, peruncit tempatan muncul sebagai penjual bersih utama minggu ini, menjual sejumlah RM426.7 juta ekuiti bersih.
"Mereka menjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali pada Jumaat apabila membeli bersih RM0.4 juta," katanya.
Dari segi penyertaan, jumlah dagangan harian purata dalam kalangan peruncit tempatan dan pelabur institusi tempatan masing-masing sebanyak 14.1 peratus dan 5.8 peratus manakala pelabur asing merekodkan penurunan ADTV -6.7 peratus minggu lepas.
-- BERNAMA