Pelabur asing kembali melabur di Bursa Malaysia
Luqman Hariz
Jun 28, 2017 14:33 MYT
Jun 28, 2017 14:33 MYT
Pelabur asing dilihat kembali melabur ke Bursa Malaysia minggu lalu.
Menurut firma penyelidikan MIDF Research, bagi minggu berakhir 23 Jun 2017, pelabur asing melakukan pembelian bersih berjumlah RM177 juta, berbanding penjualan bersih sebanyak RM99.6 juta pada minggu sebelumnya.
Firma itu berkata, pelabur mengambil pendekatan membeli menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri.
Dalam minggu tersebut, Khamis menyaksikan pembelian terbanyak oleh pelabur asing, iaitu sebanyak RM208.9 juta.
MIDF berkata, sentimen belian yang bertambah baik terhadap bursa tempatan dimangkin oleh kelemahan harga minyak serta prestasi bursa Asia lain.
Tambahnya, pelabur runcit merupakan pembeli bersih saham tempatan, dengan pembelian sebanyak RM72.7 minggu lalu.
Manakala institusi kewangan tempatan kekal sebagai penjual bersih, dengan jumlah jualan sebanyak RM249.7 juta pada tempoh tersebut.
Bagi tempoh tersebut, Sime Darby dan Maybank merupakan antara saham yang merekodkan pembelian terbanyak, dengan jumlah pembelian mencecah RM13.44 juta dan RM10.29 juta masing-masing.
Manakala CIMB menyaksikan penjualan tertinggi dengan sejumlah RM23.36 juta sahamnya dijual.