Pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia, beli RM11.5 juta ekuiti minggu lepas - MIDF
Bernama
April 3, 2023 14:35 MYT
April 3, 2023 14:35 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menyaksikan kehadiran semula dana asing pada minggu lepas dengan pembelian bersih ke atas ekuiti tempatan bernilai RM11.5 juta selepas mencatat aliran keluar bersih dana asing selama empat minggu berturut-turut, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).
Dalam Laporan Aliran Dana mingguannya bagi minggu berakhir 31 Mac, 2023, cabang penyelidikan bank pelaburan itu, MIDF Research berkata tempoh itu dimulakan pada Isnin dengan aliran keluar bersih dana asing berjumlah RM80.1 juta.
Bagaimanapun, sentimen kembali meningkat pada Selasa dan tempoh berikutnya selepas data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) menguncup 0.8 peratus tahun ke tahun pada Februari 2023 berbanding pertumbuhan 1.3 peratus tahun ke tahun pada Januari 2023.
"Penguncupan itu disebabkan oleh kesan asas dan harga komoditi utama yang lebih rendah. Selain itu, kebimbangan mengenai kesan kemelut perbankan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah juga semakin mereda dan mendorong sentimen yang lebih baik," katanya.
MIDF berkata Jumaat lepas menyaksikan jumlah aliran masuk asing bersih tertinggi sebanyak RM59.6 juta manakala belian bersih terendah pada Selasa iaitu RM1.0 juta.
Menurutnya, setakat tahun ini, pelabur asing telah melepaskan pegangan ekuiti bernilai RM1.87 bilion.
Dalam pada itu, tiga sektor teratas yang menjadi tumpuan aliran masuk bersih dana asing pada minggu lepas adalah perkhidmatan kewangan (RM51.5 juta); teknologi (RM22.6 juta) dan penjagaan kesihatan (RM16.8 juta) manakala tiga sektor dengan aliran keluar bersih asing adalah utiliti (RM54.3 juta), REIT (RM15.6 juta) dan tenaga (RM13.3 juta).
Selain itu, pelabur institusi tempatan berperanan sebagai penjual bersih pada minggu lepas iaitu sebanyak RM3.9 juta.
"Tempoh itu menjadi minggu dagangan yang bercampur-campur bagi institusi tempatan dengan aliran masuk pada Isnin berjumlah RM39.2 juta dan Rabu RM29.6 juta manakala tempoh berbaki pada minggu itu menyaksikan aliran keluar.
"Jumaat lepas mencatat aliran keluar bersih tertinggi bagi minggu itu iaitu RM37.3 juta," katanya.
Setakat tahun ini, institusi tempatan telah membuat belian bersih ekuiti bernilai RM1.77 bilion.
MIDF berkata, peruncit tempatan pula telah menjual ekuiti bernilai RM7.6 juta pada minggu tersebut.
Minggu tersebut dimulakan secara kukuh dengan aliran masuk dana berjumlah RM41 juta pada Isnin dan seterusnya Selasa pada RM12.8 juta manakala tempoh berbaki minggu tersebut menyaksikan aliran keluar dana oleh peruncit.
Aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Rabu iaitu RM34.6 juta.
Kelompok peruncit tempatan merupakan pembeli bersih ekuiti setakat ini dengan nilai RM91.9 juta.
Memperincikan aspek penyertaan, MIDF berkata nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan turun sebanyak 12.5 peratus manakala institusi tempatan 13.9 peratus dan pelabur asing sebanyak 12.3 peratus.
-- BERNAMA