Pelabur asing kembali jual RM56.9 juta ekuiti minggu lalu

Dagang News
Mei 17, 2022 11:30 MYT
Menurut MIDF Research, bagi pelabur runcit, pembelian ekuiti direkodkan paling banyak minggu lalu adalah pada Khamis sebanyak RM103.83 juta manakala paling rendah pada Selasa, RM21.34 juta. - Gambar fail/DagangNews
KUALA LUMPUR: Pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan bagi minggu berakhir 13 Mei 2022 dengan aliran masuk sebanyak RM56.9 juta.
Laporan aliran dana mingguan MIDF Research menunjukkan, pelabur runcit kekal menjadi pembeli bersih bagi minggu kelima berturut-turut sebanyak RM234.8 juta.
"Sebaliknya, pelabur institusi tempatan menjual kembali ekuiti dengan menyaksikan aliran sebanyak RM291.8 juta pada minggu lalu," katanya dalam laporan itu hari ini.
Setakat ini, dana antarabangsa merupakan pembeli bersih ekuiti dalam tempoh 15 daripada 19 minggu tahun ini dengan aliran masuk sebanyak RM6.98 bilion.
Pada minggu lalu, mereka menjual ekuiti pada Rabu dan Khamis, masing-masing berjumlah RM2.08 juta dan RM145.2 juta.
Pelabur institusi tempatan pula menjual ekuiti setiap hari sepanjang minggu lalu, kecuali Khamis, dengan pembelian sebanyak RM41.38 juta.
"Penjualan ekuiti paling tinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM200.67 juta manakala paling rendah pada Rabu, sebanyak RM40.44 juta.
"Mereka sudah menjual ekuiti selama 16 minggu daripada 19 minggu dagangan pada tahun ini. Setakat ini, mereka sudah menjual RM8.1 bilion ekuiti," jelasnya.
Menurut MIDF Research, bagi pelabur runcit, pembelian ekuiti direkodkan paling banyak minggu lalu adalah pada Khamis sebanyak RM103.83 juta manakala paling rendah pada Selasa, RM21.34 juta.
Dari segi penyertaan pelabur, pergerakan pelabur asing menyaksikan penurunan 24.76% dari segi nilai purata dagangan harian (ADTV) diikuti pelabur runcit juga menurun 6.9%. Bagaimanapun, pergerakan pelabur institusi tempatan meningkat 9.49%.
Firma itu berkata, pada minggu lalu, pasaran global ditutup lebih rendah dan kekal tidak menentu kerana pelabur semakin bimbang tentang kemungkinan akan berlaku kemelesetan ekonomi.
Di peringkat domestik pula, Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah mengejut dengan menaikkan kadar dasar semalan (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2%.
Ini menyaksikan indeks utama, FBM KLCI susut 1.27% pada minggu lalu kepada 1,544.41 mata. Ringgit turut menyusut kira-kira 0.74% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk berakhir pada RM4.3987.
#pelabur #ekuiti #domestik #MIDF Research
;