Pelabur asing kembali jual RM160.7 juta ekuiti minggu lalu
Dagang News
Februari 7, 2022 10:15 MYT
Februari 7, 2022 10:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pelabur asing kembali menjual ekuiti tempatan sepanjang minggu lalu berjumlah RM160.7 juta di sebalik dagangan pendek pasaran sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Bagi minggu sebelumnya, pelabur asing membeli sebanyak RM116.45 juta ekuiti tempatan, menurut MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan.
Apabila pasaran dibuka pada Isnin, pelabur asing dan runcit masing-masing menjual sebanyak RM131.68 juta dan RM10.33 juta ekuiti.
Pelabur institusi tempatan pula memulakan dagangan dengan membeli ekuiti berjumlah RM142.02 juta.
"Aliran keluar tertinggi dicatatkan pelabur asing ialah pada Isnin dengan momentum aliran masuk asing bersih semakin perlahan pada Jumaat sebanyak RM19.48 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.
Sementara itu, pelabur runcit pula menjual ekuiti pada Isnin dan Khamis sebelum kembali membeli semula ekuiti pada Jumaat.
Penjualan ekuiti paling tinggi direkodkan pada Isnin sebanyak RM10.33 juta dan hanya merekodkan pembelian ekuiti pada Jumaat sebanyak RM24.17 juta.
"Walaupun banyak menjual ekuiti pada minggu lalu, tetapi pelabur runcit masih membeli sebanyak RM5.24 juta ekuiti tempatan," katanya.
MIDF Research berkata, pelabur institusi tempatan merekodkan pembelian bersih kumulatif bagi minggu berakhir 4 Februari itu sebanyak RM155.47 juta.
"Mereka muncul pembeli bersih hampir kebanyakan hari pada minggu lalu kecuali Jumaat dengan aliran keluar RM4.69 juta.
"Pembelian ekuiti paling tinggi dibuat pada Isnin sebanyak RM142.02 juta," jelasnya.
Sepanjang minggu lalu, FBM KLCI secara keseluruhan menokok 0.18% kepada 1,522.76 mata manakala ringgit pula mengukuh kira-kira 0.22% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup pada RM4.1807, Jumaat lalu. - DagangNews.com