Pelabur asing beli RM6.6 bilion ekuiti pada Ogos - MARC

Dagang News
Oktober 5, 2021 12:43 MYT
Pelabur asing membeli sebanyak RM6.6 bilion ekuiti tempatan pada Ogos 2021 selepas 2 bulan menjadi penjual bersih susulan meningkatnya keyakinan terhadap ekonomi Malaysia. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR:
Pelabur asing membeli sebanyak RM6.6 bilion ekuiti tempatan pada Ogos 2021 selepas 2 bulan menjadi penjual bersih susulan meningkatnya keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.
Malaysian Rating Corporation (MARC) berkata, pembelian ekuiti tersebut secara tidak langsung mengatasi aliran keluar asing pada Jun dan Julai berjumlah RM4.1 bilion.
Katanya, pegangan asing pada bulan tersebut meningkat kepada RM250.4 bilion berbanding Julai, RM243.8 bilion dengan pelabur asing memiliki 14.6% daripada jumlah bon tempatan (Julai : 14.3%).
"Aliran masuk asing ini kebanyakannya tertumpu kepada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII).
"Keyakinan terhadap ekonomi Malaysia di tengah-tengah kadar vaksinasi yang pantas dan pembukaan semula sektor ekonomi telah meningkatkan permintaan asing terhadap MGS dan GII ini," katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut agensi penarafan itu, di sebalik aliran masuk asing, hasil MGS didorong lebih tinggi menerusi pasaran sekunder pada Ogos.
Jelasnya, hasil MGS diniagakan lebih tinggi memandangkan jumlah dagangan yang perlahan apabila pelabur tempatan memilih untuk tidak bergerak ekoran situasi politik di Malaysia tidak menentu.
"Selain itu, ia turut dipengaruhi oleh hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi menjelangnya penggulungan sempena Forum Jackson Hole pada 27 Ogos lalu.
"Ini menyebabkan para pelabur bimbang jika terdapatnya pengumuman mengenai langkah pengurangan pembelian aset setelah terdapatnya petunjuk dalam pertumbuhan ekonomi walaupun pada kadar sederhana di AS," jelasnya.
Menurut MARC, bagaimanapun, hasil MGS mulai reda sedikit setelah terdapat hala tuju dalam pelantikan perdana menteri baharu ketika hari-hari-terakhir pada Ogos.
Menjelang akhir bulan tersebut, keluk hasil MGS bertambah baik dengan sebaran bagi 10 tahun/3 tahun dan 20 tahun/3 tahun masing-masing menguncup kepada 87 mata asas (bps) dan 168 bps (berbanding Julai : 92 bps dan 173 bps).
Sebaliknya, hasil bon korporat generik adalah lebih rendah pada Ogos setelah menyaksikan sebaran kredit semakin mengecil apabila hasil MGS melonjak, jelas MARC.
* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.
#MARC #pelabur asing #ekuiti tempatan #ekonomi
;