Pekerja asing: Kementerian kaji permohonan pemain industri - Khairuddin

Bernama
Januari 12, 2021 22:09 MYT
Mohd Khairuddin berkata, terdapat permohonan daripada pemain industri dalam sektor perkayuan, perladangan dan sarung tangan yang menghadapi kekurangan tenaga kerja. - Gambar fail
SEREMBAN: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan mengkaji permohonan daripada pemain industri dalam sektor perkayuan, perladangan dan sarung tangan untuk dikecualikan daripada dasar pembekuan pengambilan pekerja asing yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ini berikutan terdapat permohonan daripada pemain industri dalam sektor tersebut yang menghadapi kekurangan tenaga kerja pada masa ini.
"Saya telah meminta kementerian untuk membuat satu kertas kerja berhubung kepentingan sektor itu dalam negara.
"Kita akan melihat mana-mana ruang yang boleh kita bantu dan kita akan tengok ruang yang boleh kita beri pengecualian kepada sektor peladangan dan perabot tetapi bergantung kepada kelulusan kerajaan," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke kilang perabot HeveaPac Sdn Bhd di sini. Turut hadir Pengarah Eksekutif syarikat itu, Peh Ju Chai.
Bagaimanapun, katanya pengambilan pekerja dalam kalangan rakyat tempatan menjadi keutamaan.
Pada Jun lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata pengambilan pekerja asing dalam semua sektor dibekukan hingga akhir tahun 2020 dengan peluang pekerjaan kini diutamakan kepada penduduk tempatan.
Sementara itu, Peh berkata syarikat itu yang telah beroperasi selama 20 tahun sejak 2001 kini memiliki seramai 2,200 pekerja dari Bangladesh, Myanmar dan Nepal.
"Kami kekurangan pekerja dan cuba mendapatkan dalam kalangan penduduk tempatan. Kebanyakan mereka tidak berminat kerana ini adalah kerja yang kotor, berbahaya dan sukar (3D) malah, saya juga telah mencuba pekerja dari kalangan Orang Asli dan Sarawak.
"Sektor perabot di Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dan kami berharap kerajaan dapat membantu kami menyediakan lebih ramai pekerja," katanya.
-- BERNAMA
#pekerja asing #kekurangan pekerja #sektor #perkayuan #perladangan #Sarung tangan #Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi #Mohd Khairuddin Aman Razali
;