Pegangan saham Felda dalam FGV kini 82 peratus - Pengarah Besar

Hasimi Muhamad
Februari 17, 2022 12:52 MYT
Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar sewaktu taklimat media Mengenai Kejayaan Felda dan Hala Tuju Felda Baharu, di sini pada Khamis. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjaya menguasai 82 peratus pegangan saham dalam FGV Holdings Bhd setakat ini.
Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, perkembangan terbaharu itu membolehkan agensi tersebut menguruskan ladang perjanjian pajakan tanah (LLA) FGV, kilang sawit, serta isu-isu melibatkan peneroka dengan lebih cekap.
Bagaimanapun, beliau berkata perincian lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Sebelum ini FGX yang mengelola dan mengendalikan semua kilang di kawasan Felda. Jadi semasa pemilikan hanya 34 peratus, kita tiada kawalan dan memang kita hadapi masalah itu. Sekarang kita sudah kawal 82 peratus, kita dah boleh selesaikan banyak masalah.
"Kita akan buat pengumuman bila sampai masa. Benda besar (pemilikan saham) dan satu peratus (pemilikan saham) FGV bersamaan RM32 juta. Jadi, perancangan kena lama dan kalau berkaitan dengan syarikat yang tersenarai (kena pemakluman) Bursa Malaysia dan kemudian baru kita akan umum," katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Media Mengenai Kejayaan Felda dan Hala Tuju Felda Baharu, di sini pada Khamis.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Idris Jusoh.
Pada Mac tahun lalu, Felda menguasai 81 peratus pegangan saham dalam FGV termasuk Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF).
#Felda #FGV #Amiruddin Abdul Satar #Idris Jusoh
;