PDPW: Melahirkan modal insan penuhi keperluan industri keselamatan siber

Astro Awani
Mei 30, 2023 21:15 MYT
Landskap keselamatan siber di Malaysia yang kompleks dan sentiasa berkembang memerlukan langkah proaktif dalam menanganinya sama ada di peringkat perniagaan mahupun individu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Landskap keselamatan siber di Malaysia yang kompleks dan sentiasa berkembang memerlukan langkah proaktif dalam menanganinya sama ada di peringkat perniagaan mahupun individu.
Ia termasuk meningkatkan bilangan profesional keselamatan siber, membangunkan rangka kerja keselamatan siber nasional dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa mengenai keselamatan siber.
Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Alliance Bank Malaysia Berhad, William Song berkata pelajar ketika ini perlu bersedia dalam mendepani pelbagai isu mendatang berkait keselamatan siber.
"Saya fikir, bakat muda perlu tahu bahawa keselamatan siber dan penipuan merupakan industri yang bergerak pantas dan kerap berubah.
"Jadi mereka perlu bersedia dan mempunyai minat yang mendalam terhadap industri ini sebelum menyertainya.
"Apabila anda sertainya, anda boleh memperhalusi minat anda dalam bidang keselamatan siber ini," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), Prof Dr Ho Chin Kuan berkata kerjasama antara akademik dan pemain industri amat penting dalam memastikan modal insan dalam bidang keselamatan siber sentiasa memenuhi kehendak industri.
"Latihan industri adalah terbuka kepada semua pelajar. Namun, sering kali latihan industri dijalankan di akhir sesebuah program.
"Apa yang kita perlukan adalah kerjasama dengan industri melibatkan akademik dan pelajar sejak dari hari pertama.
"Jadi kita boleh wujudkan program perantis. Itu yang APU lakukan bersama PayNet, di mana kami libatkan pelajar di peringkat awal melalui program perantis sejak tahun pertama dan kedua, dan bukan menunggu pada tahun ketiga," ujar beliau.
Mereka ditemui Astro AWANI pada hari keenam Minggu Pembayaran Digital PayNet (PDPW) yang memfokuskan Academic Brownbag anjuran penyedia infrastruktur pembayaran digital runcit Malaysia, Payments Network Malaysia Sdn Bhd atau PayNet.
Dua sesi dialog khusus berlangsung yang membincangkan berkenaan keperluan bakat industri, perkembangan terkini dalam bidang keselamatan siber serta daya tahan dalam pembayaran digital.
#PDPW #teknologi #keselamatan siber #pembayaran digital
;