PDAM: Pengusaha stesen minyak negara sedia hadapi pasaran terbuka
Nurulhana Ismail
Mac 7, 2016 22:22 MYT
Mac 7, 2016 22:22 MYT
Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia PDAM sedang meneliti dan mengkaji keperluan untuk menyemak semula mekanisme pengusaha minyak negara.
Menurut Presidennya, Dato' Hashim Othman, Ia bagi mempersiapkan industri dalam menghadapi pasaran terbuka.
Sehubungan itu, PDAM telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Petroleum Australia ACAPMA bagi berkongsi pengalaman mereka dalam pasaran terbuka pengusaha minyak.
"Melalui MoU ini, kita akan dapat belajar dari Australia bagaimana mereka membuka pasaran minyak mereka supaya sebarang polisi keterbukaan pasaran yang mungkin dilaksanakan oleh kerajaan pada masa depan tidak akan membebankan pengusaha minyak dan pengguna," katanya dalam sidang media sejurus majlis tandatangan MoU itu di ibu negara pada Isnin.
Menurutnya, ACAPMA dipilih susulan pengalaman luasnya dalam industri lebih 40 tahun, serta keadaan pasaran yang tidak lagi dikawal selia kerajaan sejak 20 tahun lepas selain daripada persekitaran pasaran yang sama di rantau Asia Pasifik.
Beliau berharap hasil dari kerjasama tersebut dapat membantu kerajaan dalam menetapkan dasar berkaitan industri minyak di masa hadapan.
Tambah PDAM usahasama ini merupakan langkah permulaannya ke arah mencapai objektif berkenaan dan berhasrat untuk melakukan lebih banyak kerjasama dengan negara serantau seperti Singapura dan Thailand.
Sementara itu mengulas mengenai kerugian yang dialami pengusaha stesen minyak, Hashim mengakui kebanyakan mereka kini berdepan kerugian susulan kejatuhan harga minyak mentah dunia ditambah pelaksanaan gst serta ketetapan kadar subsidi minyak oleh kerajaan.
"Walaupun margin keuntungan masih ada, namun dalam perniagaan ia bukanlah tentang untung rugi semata-mata. Kita juga harus lihat dari segi aset dan aset kami semakin susut saban hari dan ia akan menyukarkan kami, pengusaha kerana akan terdapat tekanan dari pihak bank," ujar beliau pada majlis yang sama.
Menurut beliau, secara purata, setiap pengusaha stesen minyak di negara ini kerugian RM10 ribu sebulan sejak kejatuhan harga minyak mentah global, 8 bulan lalu.
Dengan jumlah pengusaha stesen minyak seluruh negara mencecah 3500, jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM280 juta sepanjang tempoh itu dan ia dijangka terus bertambah.