Pastikan pertumbuhan ekosistem sebelum agih kekayaan negara - Penganalisis

Wan Syamsul Amly
Mei 10, 2019 16:58 MYT
Pertumbuhan ekosistem ekonomi penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi mapan sebelum kekayaan negara diagihkan bersama. - Gambar hiasan
Pertumbuhan ekosistem ekonomi penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi mapan sebelum kekayaan negara diagihkan bersama.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emiratus Dr Zakariah Abdul Rashid menjelaskan, ia bukan perkara baru tetapi biasa disebut pendekatan produktiviti iaitu daya saing dan mewujudkan pasaran yang lebih mesra pasaran.
Jelasnya, langkah itu mestilah yang menjana pertumbuhan dan berkait dengan teknik pengeluaran berintensifkan modal dan bukan buruh kurang mahir.
Ujarnya, ia cabaran yang dihadapi lebih satu dekad selain harus ditangani sebelum mencapat status negara maju pada 2025 atau 2030.
"Caranya dengan meningkatkan pendapatan pekerja, kerana pendapatan isi rumah kini, 85 peratus daripada pendapatannya adalah daripada gaji, maknanya kalau tingkatkan gaji mereka dapat mempunyai daya saing tinggi.
"Soal harga yang jadi menjadikan kuasa beli mereka lemah disebabkan harga yang tinggi saya fikir tidak berlaku, sebab pada tahun ini iaitu tiga bulan yang pertama kita sedang hadapi deflasi.
"Kita tengok indeks harga pengguna hadapi deflasi, sebab itu Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) supaya mencergaskan permintaan agregat. Jadi kalau kita lihat semua perkara itu berkait satu sama lain," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
BACA: Kerajaan perkenal hala tuju baharu ekonomi negara - Dr Mahathir
BACA: Dari mana datangnya begitu banyak wang yang dipulangkan? - Dr Mahathir
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Khamis memberitahu, Kerajaan akan memperkenalkan hala tuju baharu ekonomi negara yang akan memastikan rakyat dapat menikmati kemakmuran bersama serta menyelesaikan kemelut ekonomi yang dialami sekarang.
Jelasnya, inisiatif yang akan diperkenalkan itu mengambil pendekatan 'Kemakmuran Bersama' dengan meningkatkan kuasa beli rakyat dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah serta jurang rantaian bekalan yang melampau.
Dalam pada itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan, ekonomi tidak menentu hari ini tidak menghalang kerajaan untuk memikirkan strategi paling sesuai untuk membawa ekonomi ke tahap lebih baik.
"Paling penting menyediakan peluang pekerjaan agar rakyat Malaysia lebih berdaya maju dan lebih menghala ke arah kemahiran tinggi.
"Buat masa ini, data ekonomi profil pekerja sekarang 28 peratus sahaja yang ada kelayakan, selebihnya SPM dan ke bawah.
"Komposisi ini perlu ditukar dan perlu dinaikkan di mana pelaburan sektor pendidikan perlu ditingkatkan untuk pastikan buruh di Malaysia akan lebih berkemahiran tinggi," jelasnya.
Dr Mahathir memberitahu, pembangunan ekonomi negara akan diperluaskan ke beberapa wilayah lain negara ke arah pembangunan ekonomi yang inklusif dan teragih.
Jelasnya, pembangunan pusat ekonomi yang lebih menyeluruh di seluruh pelusuk negara harus diusahakan supaya jurang dalam bandar, antara bandar dan desa, negeri yang maju dan terkebelakang dan antara Semenanjung dan Negeri-negeri Borneo dapat dikurangkan.
#bank #Bank Negara Malaysia #ekonomi #Islam #kerajaan #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #pendidikan #rumah #SPM
;