Pasca PRU15: Lantik Menteri KPPK berpengetahuan, fahami industri - Margma
Bernama
November 26, 2022 18:54 MYT
November 26, 2022 18:54 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) berharap kerajaan baharu akan memilih Menteri yang menerajui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) daripada kalangan individu berpengetahuan dan mempunyai pemahaman menyeluruh mengenai industri berorientasikan eksport itu.
Dalam kenyataan sama hari ini, Margma turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim dan yakin pentadbiran beliau akan memacu negara ke arah pemulihan ekonomi yang disasarkan.
Presiden Margma Supramaniam Shanmugam berkata persatuan itu berpendapat KPPK perlu diterajui oleh individu yang terbukti berpengetahuan luas dalam industri berikutan persaingan sengit dihadapi oleh industri di peringkat global.
"Sebagai contoh, industri sarung tangan getah ini perlu terus berinovasi dan maju dalam menghadapi saingan global serta ketidaktentuan ekonomi. Oleh itu, kepimpinan menteri kita adalah penting bagi tujuan tersebut.
"Pada masa ini, industri ini menjadi peneraju dalam aspek pengeluaran inovatif prosedur pemeriksaan perubatan dan sarung tangan pembedahan sebagai pengeluar terbesar dunia yang menyediakan bekalan untuk 195 negara dan memenuhi kira-kira 65 peratus permintaan global.
"Industri ini juga bersedia untuk kembali ke pasaran pada 2023 dengan menyasarkan prestasi yang jauh lebih baik daripada tahun ini," katanya.
Beliau berkata Margma juga berpendapat bahawa industri huluan dan hiliran perlu dirapatkan dan industri itu juga sewajarnya mendapat pertimbangan baik daripada Perdana Menteri.
Menurutnya, ini akan membolehkan Malaysia untuk terus memainkan peranan kemanusiaan dalam menghasilkan peralatan perlindungan diri yang penting bagi menampung keperluan penjagaan kesihatan global.
-- BERNAMA