Pasca PRU15: Ketidakstabilan politik bantut pembangunan PKS - Penganalisis

Nabilah Khaleeda
November 23, 2022 12:13 MYT
Ng berharap kerajaan baharu merupakan sebuah kerajaan yang bervisi jauh untuk mengangkat Malaysia bersaing setanding negara jiran serantau. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengerusi SAMENTA Datuk William Ng yang mewakili Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia, membangkitkan keresahan pihaknya terhadap ekonomi negara, akibat ketidaktentuan situasi politik ketika ini.
Katanya, keadaan ini menyebabkan ramai pengusaha PKS tidak berani untuk menaik taraf operasi mereka, apatah lagi menambah margin keuntungan, walau negara kini sudah beralih ke fasa endemik.
"Ramai PKS mahu, tapi tidak berani, melabur untuk menaik taraf operasi mereka, contohnya beralih kepada pendigitalan, disebabkan faktor ketidakstabilan politik dan ekonomi dunia," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Pada masa sama, Ng berkata, terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan baharu yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara dalam pembentangan Bajet 2023 akan datang.
"Kalau boleh, kita bagikan pinjaman faedah rendah atau tanpa faedah, potongan cukai berganda, serta penyediaan insentif fiskal kepada mana-mana PKS yang memerlukan.
"Semua usaha ini bertujuan menyelamatkan usahawan PKS dengan meningkatkan margin keuntungan mereka yang kini berada di paras membimbangkan," tambahnya.
Beliau berharap, proses pembentukan kerajaan dapat disegerakan kerana ketentuan hala tuju dan dasar dapat menentukan tahap pelaburan, sekali gus meneruskan usaha pemulihan ekonomi negara.
#PKS #PRU15 #ekonomi #WILLIAM NG
;