Pasca PKP: Impak negatif ke atas ekonomi perlu diminimakan - Pakar

Fareez Azman
April 25, 2020 15:52 MYT
Prof Mohd Yusof yakin kerajaan akan mengambil langkah terbaik mengurangkan impak negatif ke atas ekonomi kesan dari PKP dan COVID-19.
Ketika rakyat berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, beberapa sektor perkhidmatan penting negara diberikan pengecualian dan dibenarkan beroperasi.
Kebenaran diberikan dengan garis panduan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai pencegahan penularan COVID-19.
Namun bagaimanakah impak PKP terhadap sektor-sektor lain terutamanya kepada ekonomi negara sekiranya tempoh ini berlarutan?
Pensyarah Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari menjelaskan kerajaan perlu mencari kaedah terbaik dalam memastikan impak negatif pasca PKP kepada ekonomi negara nanti dapat diminimakan.
Ujarnya, ketika ini sudah wujud sindrom 'ekono-virus' iaitu keresahan dalam kalangan sektor perniagaan apabila pengoperasian mereka terhenti akibat penularan virus membunuh itu.
Justeru, beberapa sektor kata Prof Mohd Yusof, perlu dinilai kepentingannya, lebih-lebih lagi sekiranya sektor terbabit dapat menyumbang kepada peningkatan tenaga kerja serta pendapatan isi rumah pasca PKP nanti.
"Pertama, sektor rantaian bekalan, perlu melihat beberapa aspek pertimbangan sama ada sektor ini penting di sepanjang rantaian bekalan, ia mencipta peluang pekerjaan dan menggunakan banyak tenaga buruh dan pekerja di luar sana atau rantaian bekalan juga mampu meningkatan pendapatan pengguna dan isi rumah.
"Kedua, menentukan sektor mana akan cepat untuk pulih kalau dibenarkan beroperasi. Ini adalah penting dan diberi keutamaan, tidak dinafikan sektor kesihatan juga harus diutamakan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ujarnya, dalam usaha memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung, kerajaan pada masa yang sama perlu membuka sektor perniagaan yang penting dahulu sebelum memberi laluan kepada sektor lain secara berfasa ataupun berperingkat.
"Keutamaannya adalah sektor menjadi jantung rantaian bekalan dimana kita perlu fokus sektor-sektor mempunyai rantaian bekalan sangat tinggi. Rantaian bekalan itu perlu dilihat dari sudut pertimbangan pekerja atau pendapatan isi rumah.
"Sektor ini nampak memberi peluang kepada golongan B40 dan M40 khususnya di luar bandar, sekaligus kita mahu sektor itu dibuka terlebih dahulu," katanya lagi.
#Astro Awani #COVID-19 #koronavirus #MITI #Pakar Ekonomi #Prof Madya Dr Yusof Shaari #Sektor Perniagaan #terjejas #UPM
;