Pasca Bajet 2016 : Penyelidikan Universiti Malaya perlu dikomersialkan

Mariah Ahmad
Oktober 27, 2015 03:21 MYT
Dalam Bajet 2016, UM bakal menerima potongan dalam pembiayaan sebanyak RM175 juta pada tahun hadapan. - Gambar Fail
Universiti Malaya (UM) perlu mengkomersialkan penyelidikannya bagi menambah sumber pendapatan, kata pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM, Profesor Terence Edmund Gomez.
Saranan itu dibuat beliau memandangkan dalam Bajet 2016, UM bakal menerima potongan dalam pembiayaan sebanyak RM175 juta pada tahun hadapan.
Jelas Prof Gomez, antara penyelidikan UM yang boleh dikomersialkan ialah penyelidikan yang melibatkan industri herba dan ubat-ubatan seperti Mascote.
"Penyelidik daripada fakulti sains dan fakulti kejuruteraan mereka melakukan pelbagai penyelidikan yang tidak dikomersialkan. Ada banyak penyelidikan yang sangat bagus. Contohnya seperti Mascote. Ia boleh merendahkan tekanan darah tinggi anda, memulihkan diabetes dan merawat pelbagai penyakit.
"Bayangkan jika kita tekankan produk ini dalam industri yang hanya Malaysia sahaja mempunyai indusri itu. Lihat sahaja China, anda boleh lihat banyak perkembangan yang pesat dalam industri herba di Cina. Itu adalah satu potensi yang saya tidak dapat lihat perkara sedemikian dalam Bajet 2016," tambah Prof Gomez dalam Forum Analisis Pasca Bajet 2016 di Dewan Kuliah Lim Goh Tong Fakulti Perniagaan dan Perakaunan UM pada Isnin.
Sementara itu, dalam forum yang sama, pensyarah Akademi Pengajian Islam UM, Dr Asmak Ab Rahman mencadangkan supaya UM menjana pendapatannya melalui wakaf, seperti yang dilakukan Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika ini.
"UPM mempunyai Wakaf Ilmi di mana mereka telah kumpul jutaan ringgit melalui dana wakaf mereka.
"Tambahan lagi, kelebihan wakaf ini boleh dirasai bukan sahaja orang Islam namun orang bukan Islam turut akan menikmati kelebihannya," jelas Dr Asmak.
Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pembangunan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan UM Prof Madya Dr Rubi Ahmad turut mencadangkan agar alumni UM untuk terus menderma kepada universiti terbabit bagi membantu sumber dana UM.
#Bajet 2016 #ekonomi #Prof Terence Edmund Gomez #UM #universiti malaya