Pasaran wang dijangka stabil minggu depan
Bernama
Oktober 24, 2015 11:34 MYT
Oktober 24, 2015 11:34 MYT
Pasaran wang Malaysia dijangka kekal stabil minggu depan dengan kadar lebih kukuh berikutan jangkaan campur tangan
Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menguruskan lebihan mudah tunai.
Bank pusat itu dijangka terus campur tangan dengan tender harian untuk menyerap lebihan dana dari pasaran, kata peniaga.
Bagi minggu yang baru berakhir, BNM campur tangan setiap hari untuk mengurangkan lebihan mudah tunai dengan menawarkan tender konvensional, program komoditi Murabahah, Qard, lelongan matang dan tender repo.
Pada Jumaat, tindakan Bank Negara telah membantu mengurangkan jumlah lebihan kecairan pasaran kepada RM27.38 bilion dalam sistem konvensional dan RM5.17 bilion dalam dana Islam.
Kadar rujukan Islam semalaman kekal pada 3.21 peratus manakala kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu masing-masing berada pada 3.28 peratus, 3.33 peratus dan 3.37 peratus.
Penanda aras kadar tiga bulan antara bank berada pada 3.74 peratus.