Pasaran wang berkemungkinan kekal stabil minggu depan

Bernama
Januari 9, 2016 02:56 MYT
Bank Negara Malaysia dijangka terus campur tangan dengan tender harian bagi menyerap lebihan dana daripada pasaran. - Gambar hiasan
Pasaran wang Malaysia berkemungkinan kekal stabil minggu depan dengan kadar lebih stabil bersandarkan jangkaan campur tangan berterusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menguruskan lebihan kecairan.
Bank pusat dijangka terus campur tangan dengan tender harian bagi menyerap lebihan dana daripada pasaran, kata seorang peniaga.
Bagi minggu baru berakhir, BNM campur tangan setiap hari bagi mengurangkan lebihan dana dalam sistem menerusi pelaksanaan tender konvensional, Program Komoditi Murabahah, Qard, repo berbalik dan repo.
Pada Jumaat, tindakan bank pusat membantu mengurangkan lebihan kecairan keseluruhan pasaran kepada RM33.03 bilion daripada RM38.37 bilion sebelum ini manakala dalam sistem Islam menyusut kepada RM9.2 bilion daripada RM13.66 bilion.
Kadar rujukan Islam semalam disandarkan pada 3.21 peratus manakala kadar satu, dua dan tiga minggu masing-masing pada 3.28, 3.33 dan 3.37 peratus.
Penanda aras kadar antara bank tiga bulan pada 3.84 peratus.
#Bank Negara Malaysia #bank pusat #dana #kecairan #Program Komoditi Murabahah