Pasaran tunggal realisasikan komuniti ASEAN

Sharkawi Salehuddin
Februari 24, 2015 17:23 MYT
Menurut Tony, pasaran pelancongan tunggal pula wajar dibangunkan dalam memastikan komuniti ASEAN tidak mudah terkesan apabila ekonomi global berdepan dengan ketidakstabilan.
Dengan jumlah penduduk melebihi 600 juta di dalam pasaran ASEAN, sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam mewujudkan asas ekonomi berdasarkan komuniti yang stabil serta kukuh di ASEAN.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) adalah pemangkin kepada pasaran ASEAN untuk bergerak sendiri dan tidak bergantung kepada ekonomi luar.
Menurut Tony, pasaran pelancongan tunggal pula wajar dibangunkan dalam memastikan komuniti ASEAN tidak mudah terkesan apabila ekonomi global berdepan dengan ketidakstabilan.
“Pasaran ASEAN merangkumi 600 juta orang penduduk. Jika kita wujudkan pasaran pelancongan tunggal, ia tidak akan terjejas dengan apa yang berlaku di Eropah, Amerika Syarikat atau sebagainya.
“Begitu juga dengan matawang, jika kita saling mengunjungi negara ASEAN, matawang kita akan stabil dan tidak akan memberi kesan kepada harga (produk).
“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan pasaran pelancongan tersendiri yang tidak akan terjejas akibat faktor luaran. “
Tony berkata demikian selepas melancarkan AirAsia ASEAN Pass dan AirAsia ASEAN Pass+ di Bangkok pada Isnin.
Pengenalan dua pas pelancongan yang dikhususkan untuk pasaran ASEAN dijangka dapat meningkatkan sektor pelancongan serantau apabila perjalanan udara di rantau ini menjadi lebih mudah.
Kedua-dua pas berkenaan dijual pada harga RM499 dan RM888 dan bertindak seperti satu jenis mata wang dengan menghapuskan perbezaan mata wang asing kerana penerbangan dinilai melalui kredit.
Mengulas sama ada harga yang ditetapkan ke atas 2 produk pas pelancongan tersebut dipengaruhi ketidaktentuan matawang global dan penyusutan nilai ringgit, Tony menjelaskan tidak sama sekali.
“Matawang kita (negara ASEAN) tidak mempunyai banyak perbezaan. Jadi ia (faktor luaran) tidak memberi kesan kepada nilai matawang kita.
“Harga AirAsia ASEAN Pass akan kekal sama kerana kami (AirAsia) ingin menggalakkan pelancongan dan menjadikan ASEAN sebagai sebuah destinasi utama di mata dunia.”
Tony berkata, usaha ini juga menjadi instrumen yang tepat dalam mempromosi integrasi ASEAN ke arah pembentukan zon ekonomi yang lebih kukuh.
Pemegang AirAsia ASEAN Pass dan AirAsia ASEAN Pass+ boleh menikmati kadar tetap ke lebih dari 148 laluan di sekitar 10 negara ASEAN.
Penerbangan dengan durasi kurang dari dua jam bernilai 1 kredit, sementara penerbangan dua jam dank e atas bernilai 3 kredit.
Kredit AirAsia ASEAN Pass dan AirAsia ASEAN Pass+ boleh ditebus bagi penerbangan dengan AirAsia Malaysia (AK), Thai AirAsia (FD), AirAsia Indonesia (QZ) dan Philippines AirAsia (Z2) ke destinasi-destinasi ASEAN sahaja.
#AirAsia #ASEAN #Tony Fernandes
;