Pasaran pertukaran asing dalam negeri melalui tempoh penyesuaian - BNM

Bernama
Februari 27, 2017 06:00 MYT
Pasaran pertukaran asing dalam negeri sedang melalui tempoh penyesuaian. - Gambar fail
Pasaran pertukaran asing dalam negeri sedang melalui tempoh penyesuaian dan Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi lebih aktif dalam membekalkan mudah tunai untuk kedua-dua pihak bagi menangani ketidakpadanan permintaan dan penawaran.
Dalam kenyataan pada Isnin, BNM berkata, secara keseluruhan, jumlahnya kekal, dengan lebih banyak aliran dua hala pengeksport dan pengimport pemastautin menyumbang ke arah mudah tunai pasaran di dalam negeri.
"Apabila langkah-langkah ini dilaksanakan sepenuhnya, pasaran boleh menjadi pengantara aliran tanpa perlu penglibatan aktif BNM dalam pasaran," katanya.
BNM mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh peserta pada bengkel mengenai 'Perlindungan Nilai Pertukaran Asing Dalam Negeri bagi Pelabur Bukan Pemastautin', baru-baru ini.
Bengkel itu dianjurkan dengan kerjasama Asia Securities Industry dan Persatuan Pasaran Kewangan (ASIFMA) dan Persatuan Pasaran Kewangan Global (GFMA) dan dihoskan oleh CIMB Bank.
Kira-kira 60 peserta menyertai bengkel itu yang terdiri daripada bank-bank kustodian global, pengurus dana global, penyedia indeks dan pelabur institusi dari Hong Kong, Singapura, Thailand dan Malaysia.
Mereka dihubungkan melalui persidangan video untuk membincangkan isu-isu dan pertanyaan mengenai langkah-langkah pembangunan pasaran kewangan yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan pada 2 Disember lepas.
Peserta membangkitkan kebimbangan terhadap paras mudah tunai yang rendah yang dilaporkan dalam pasaran pertukaran asing ringgit sejak langkah-langkah baharu diperkenalkan dan pengharaman dagangan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF).
Pada bengkel itu, BNM memberi perspektif mengenai mudah tunai pasaran pertukaran asing dalam negeri, iaitu sejak empat tahun lepas, jumlah purata transaksi pertukaran asing keseluruhan pada sekitar AS$2.5 trilion (AS$1 = RM4.44).
Jumlah pasaran harian ialah ukuran yang akan menunjukkan kemampuan peserta untuk menjalankan transaksi dalam pasaran pertukaran asing.
Jumlah purata harian transaksi adalah sebanyak AS$8.6 bilion, dengan jumlah dagangan semerta sejak 2016 berjumlah AS$3.4 bilion, manakala transaksi swap dan hadapan masing-masing berjumlah AS$4.7 bilion dan AS$536 juta.
BNM berkata dengan pengenalan rangka kerja perlindungan nilai yang dinamik dan pasaran perlindungan nilai dalam negeri yang lebih jelas, jumlah transaksi dijangka meningkat dalam jangka panjang dan ini akan memberi jaminan mudah tunai pasaran yang berterusan kepada pelabur bukan pemastautin.
Bank pusat itu berkata di bawah rangka kerja perlindungan nilai pasif, pengurus dana dibenarkan untuk melindung nilai berasaskan transaksi atau portfolio sehingga 100 peratus daripada aset mereka yang dilaburkan.
Pengurus dana boleh membuat penambahan secara berperingkat, menjual semula dan juga membuat penyelesaian bersih perlindungan nilai, katanya.
Di bawah rangka kerja perlindungan nilai dinamik yang baru diperkenalkan, BNM berkata, selepas pengurus dana mendaftar, mereka boleh menguruskan kedudukan pertukaran asing mereka secara aktif, sama ada membeli atau menjual pertukaran asing hadapan, sehingga (sama ada kedudukan panjang atau pendek) 25 peratus bersih daripada aset di bawah pengurusannya.
"Bagi memudahkan operasi, pengurus dana berdaftar tidak dikehendaki menunjukkan bukti dokumen apabila membuat transaksi pertukaran asing hadapan dengan bank di dalam negeri.
"Pemantauan terhadap pengurus-pengurus dana ini akan dilakukan oleh BNM melalui sistem pelaporan pertukaran asing sedia ada (ROMS)," katanya.
Selain itu, dinyatakan pengurus dana mempunyai fleksibiliti untuk mendaftar pada peringkat syarikat atau atas asas dana individu.
BNM berkata sehingga kini, sebanyak 20 institusi di pasaran, yang terdiri daripada 39 dana, telah mendaftar dengannya.
Berhubung dagangan selepas waktu rasmi, BNM berkata, bank di dalam negeri bebas menyebut harga pertukaran asing selepas pasaran Asia ditutup, dan mengambil maklum mengenai kemungkinan pasaran memerlukan sumber mudah tunai dalam negeri semasa tempoh dagangan dilanjutkan.
"Pasaran kami terus terbuka dan kami mengalu-alukan penyertaan pengurus dana asing yang berterusan dalam pasaran ringgit dalam negeri," katanya.
Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata dengan langkah-langkah yang diperkenalkan, BNM memberikan lebih fleksibiliti kepada pelabur untuk melabur dan mengurus risiko pertukaran asing mereka.
-- BERNA
#BNM #CIMB #GFMA #NDF #ROMS
;