Pasaran modal Malaysia meningkat kepada RM3.5 trilion pada 2021 - SC

Bernama
Mac 28, 2022 16:30 MYT
Pasaran modal domestik terus menyokong ekonomi sebenar dengan keseluruhan pasaran modal meningkat secara purata sebanyak 4.5 peratus sejak 2017. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pasaran modal domestik Malaysia meningkat 3.0 peratus kepada RM3.5 trilion pada 2021 berbanding RM3.4 trilion pada tahun 2020, disokong oleh infrastruktur kawal selia pasaran modal yang kukuh, ekosistem pasaran yang dipelbagai dan tahap permodalan peserta pasaran yang mantap.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi Laporan Tahunan 2021 yang dikeluarkan pada Isnin berkata pasaran modal domestik terus menyokong ekonomi sebenar dengan keseluruhan pasaran modal meningkat secara purata sebanyak 4.5 peratus sejak 2017, berbanding pertumbuhan purata lima tahun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.5 peratus.
"Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan dan teratur sepanjang 2021 di tengah-tengah persekitaran global dan domestik yang agak mencabar.
"Ia terus memainkan peranan asasnya dalam membiayai ekonomi domestik dan menggerakkan tabungan," katanya.
Jumlah dana yang dikumpulkan dalam pasaran modal kekal kukuh, mengembang kepada RM130.9 bilion pada 2021 (2020: RM114.6 bilion) dan melebihi purata lima tahun prapandemik sebanyak RM121.4 bilion dengan RM16.6 bilion daripada jumlah berkenaan dikumpulkan melalui pasaran ekuiti, manakala RM114.3 bilion dikumpulkan melalui pasaran bon korporat.
Sementara itu, saluran pembiayaan alternatif melalui pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara terus menarik minat, terutamanya dalam menyokong keperluan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Menurut SC, industri pengurusan dana juga kian berkembang pada 2021, menyaksikan aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat kepada RM951.1 billion (2020: RM905.5 billion).
"Ini mencerminkan peningkatan kepelbagaian aset kewangan dalam pasaran domestik dan asing, di mana unit amanah kekal sebagai sumber dana terbesar bagi AUM," jelasnya.
Dalam pada itu, SC itu turut menyatakan pasaran ekuiti domestik terkesan oleh kekangan berterusan di peringkat global dan domestik.
Permodalan pasaran keseluruhan Bursa Malaysia dan FBM KLCI masing-masing menyederhana kepada RM1.79 trilion dan RM1.04 trilion pada 2021 (2020: masing-masing RM1.82 trilion dan RM1.06 trilion) dengan indeks FBM KLCI turut merosot sebanyak 3.7 peratus dan mengakhiri tahun 2021 pada 1,567.5 mata.
Bagaimanapun, SC berkata sentimen dalam pasaran ekuiti domestik kekal memihak kepada syarikat berkaitan FBM Permodalan Kecil (Small Cap), memandangkan prestasi cemerlang mereka yang berterusan pada tahun berkenaan.
Dari segi penyertaan dagangan pula, institusi tempatan merupakan penjual bersih dengan jumlah sebanyak -RM9.1 bilion pada 2021, manakala jualan bersih oleh bukan pemastautin menyusut kepada -RM3.1 bilion (2020: -RM24.6 bilion).
"Seiring dengan itu, pembelian bersih yang dilakukan oleh pelabur runcit tempatan meningkat kepada RM12.2 bilion.
"Maka kadar penyertaan bagi pelabur runcit adalah lebih tinggi pada 2021, meningkat kepada purata 34.6 peratus dari segi nilai yang didagangkan," katanya.
Selain itu, SC berkata jumlah bon belum tebus dalam pasaran bon Malaysia meningkat kepada RM1.7 trilion pada 2021 daripada RM1.6 trilion pada 2020, mencerminkan tahap pengumpulan dana hutang yang lebih tinggi.
"Keseluruhan keluk hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) secara amnya beralih ke aras yang lebih tinggi, diterajui oleh tempoh matang jangka sederhana hingga panjang, sejajar dengan peningkatan umum dalam hasil bon global di tengah-tengah jangkaan inflasi global yang lebih tinggi dan prospek normalisasi dasar monetari global yang lebih pantas.
"Sementara itu, jurang (spread) antara bon korporat dan MGS secara amnya mengecil dalam semua tempoh matang, menunjukkan keyakinan yang lebih baik terhadap prospek pertumbuhan ekonomi domestik terutamanya menjelang akhir tahun 2021," katanya.
Pasaran bon domestik juga menyaksikan peningkatan minat pelabur asing, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM33.6 bilion pada 2021 (2020: RM18.3 bilion), jumlah tertinggi sejak 2012, tambah SC.
-- BERNAMA
#Suruhanjaya Sekuriti Malaysia #SC #pasaran modal #laporan tahunan 2021
;