Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan, catat pertumbuhan 5.6% pada 2023
Nabilah Khaleeda
Mac 25, 2024 13:12 MYT
Mac 25, 2024 13:12 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan pada 2023, dengan saiz pasaran berkembang sebanyak 5.6 peratus kepada RM3.8 trilion berbanding RM3.6 trilion pada 2022, didorong pertumbuhan dalam permodalan pasaran ekuiti serta jumlah bon dan sukuk belum tebus.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dalam Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan pada Isnin berkata, industri pengurusan dana juga berkembang kukuh dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM975.5 bilion berbanding RM906.5 bilion pada tahun sebelum yang sebahagian besarnya disebabkan daripada kesan penilaian positif.
Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata prestasi pasaran modal yang kukuh telah dicapai walaupun berhadapan cabaran ekonomi global dan jangkaan yang berbeza terhadap dasar monetari dalam ekonomi utama.
"Tahun 2023 amat istimewa kerana ia merupakan ulang tahun ke-30 SC.
“Ini merupakan satu pencapaian penting yang jelas memaparkan peningkatan kematangan dan daya tahan SC sebagai sebuah institusi.," katanya.
"SC kekal tidak berbelah bahagi dalam keazaman kami untuk mengukuhkan rangka kerja kawal selia kami dan menegakkan integriti pasaran, apatah lagi kerana kami terus diukur berdasarkan piawaian kawal selia global," tambahnya.
SC dalam pada itu mengeluarkan Laporan Tahunan Lembaga Pemantauan Audit 2023 (Laporan AOB 2023), dan Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2023 (CMSR 2023).
Laporan Tahunan 2023 termasuk tiga Rencana Khas yang menekankan sumbangan SC dalam perlindungan pelabur, mengukuhkan kelebihan daya saing pasaran modal Islam, dan pembangunan bakat pasaran modal.
Rencana Khas tersebut termasuk Ke Arah Perlindungan Pelabur yang Lebih Baik, Panduan Maqasid Al-Shariah untuk Pasaran Modal Islam dan Program pembangunan bakat pasaran modal yang dilaburkan, investED.