Pasaran modal dijangka kekal berdaya tahan tahun ini, disokong oleh pemulihan ekonomi - SC

Bernama
Mac 27, 2023 15:45 MYT
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin (tengah barisan hadapan) memegang buku Laporan Tahunan 2022 SC pada Majlis Pengumuman Laporan Tahunan 2022 SC hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Prestasi pasaran modal Malaysia diunjurkan kekal berdaya tahan dan teratur pada tahun ini sejajar dengan ekonomi domestik, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
SC dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini berkata ekonomi Malaysia dijangka kekal berkembang pada 2023, tetapi pada kadar yang lebih sederhana, mencerminkan persekitaran global yang semakin mencabar dan normalisasi dalam permintaan domestik.
"Bagaimanapun, pasaran modal domestik akan terus dipengaruhi oleh perkembangan global utama, dengan volatiliti dijangka didorong oleh tahap pengetatan dasar monetari global dan perkembangan geopolitik.
"Namun begitu, keadaan pasaran modal domestik akan kekal teratur, dan terus menyokong aktiviti ekonomi, didukung oleh asas makroekonomi yang kukuh dan infrastruktur pasaran modal yang menyokong," katanya.
Bagaimanapun, SC berkata, risiko penurunan pertumbuhan tetap ada disebabkan ketidaktentuan luaran, manakala kadar pemulihan ekonomi mungkin akan terus tidak sekata bagi semua sektor.
Pertumbuhan ekonomi global dijangka terus perlahan pada 2023 tertakluk kepada ketidaktentuan yang ketara.
"Selain daripada kebimbangan berterusan berkaitan dengan pandemik terutamanya di China, interaksi antara pemecahan geopolitik, tekanan inflasi yang meningkat dan kadar normalisasi dasar monetari dalam ekonomi utama akan menjadi penentu utama kepantasan aktiviti ekonomi global.
"Perkembangan dalam pasaran modal global dijangka selari dengan prospek ekonomi ini," katanya.
-- BERNAMA
#Suruhanjaya Sekuriti Malaysia #pasaran modal #SC #ekonomi malaysia
;