Pasaran minyak dijangka tidak menentu dalam tempoh terdekat - Penganalisis

Bernama
Ogos 7, 2024 17:13 MYT
Harga minyak menjunam minggu lepas apabila kebimbangan terhadap kemelesetan di Amerika Syarikat mula memuncak dan sebelumnya para pelabur menjual pegangan petroleum mereka. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Para penganalisis menjangkakan pasaran minyak kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat ini dipengaruhi beberapa faktor seperti jangkaan kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) serta ketegangan geopolitik di Timur Tengah (Asia Barat).
Harga minyak memulakan dagangan pada minggu ini dengan jatuh sehingga serendah AS$75 pada Isnin (5 Julai), harga terendah sejak Disember 2023, sebelum melantun semula pada hari berikutnya
Hari ini, penanda aras minyak Brent meningkat 0.27 peratus kepada AS$76.69 setong manakala West Texas Intermediate naik 0.37 peratus kepada AS$73.47 setong.
Harga minyak menjunam minggu lepas apabila kebimbangan terhadap kemelesetan di Amerika Syarikat mula memuncak dan sebelumnya para pelabur menjual pegangan petroleum mereka.
Bagaimanapun, kemungkinan gangguan bekalan di Asia Barat membantu mengekalkan harga daripada terus jatuh.
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, walaupun berlaku banyak ketegangan seperti serangan pejuang Houthi ke atas rantaian bekalan minyak, namun pengeluaran minyak tidak mengalami gangguan besar, justeru, turun naik pasaran minyak dijangka berterusan.
"Memandangkan risiko pilihan raya AS, kita hanya boleh melihat sehingga sejauh bulan November.
"Bagaimanapun, apa juga keputusannya akan memberi kesan kepada harga minyak. Keadaan turun naik itu kebanyakannya adalah risiko politik Asia Barat. Tanpanya, harga minyak mungkin AS$3.00 lebih rendah," katanya kepada Bernama.
Pilihan raya presiden AS akan diadakan pada 5 November, dan ia boleh memberi kesan kepada masa depan industri minyak dan gas negara itu, dengan potensi perubahan dalam rangka kerja dasar dan kawal selia.
Ketegangan di Asia Barat yang terus meruncing baru-baru ini, termasuk pembunuhan pemimpin Hizbullah dan Hamas, hanya mencetuskan kebimbangan penularan konflik serantau dengan ketara.
Pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dan ancaman serangan balas Iran, hanya menunjukkan potensi ketegangan itu akan terus berleluasa.
Ini berikutan sebarang peningkatan ketegangan serantau itu akan memberi implikasi geopolitik, termasuk impak ke atas pasaran minyak global.
Dalam konteks ini, kemenangan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dalam pilihan raya dengan memperoleh 51 peratus undian, walaupun tinjauan awal lebih berpihak kepada saingannya Edmundo Gonzalez, hanya merumitkan lagi keadaan.
Lanjutan pemerintahannya sebagai presiden, boleh mempengaruhi pengeluaran minyak Venezuela dan seterusnya ke atas bekalan minyak global, sekali gus seiringan dengan dinamik ketidaktentuan di Asia Barat
Ketika sentimen kurang memberangsangkan ini dilihat tidak membantu permintaan, risiko geopolitik di Asia Barat dan kebimbangan bekalan dari Venezuela susulan kedudukan Maduro sebagai presiden, boleh mempengaruhi dinamik pasaran, kata Penganalisis Kanan Rystad Energy Svetlana Tretyakova.
"Untuk beberapa minggu akan datang, potensi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menurunkan kadar faedah utama, akan membantu merangsang ekonomi negara maju itu selain kemungkinan China melaksanakan langkah rangsangan dan sokongan ekonomi yang lebih proaktif," katanya dalam nota penyelidikan pada Selasa.
Mengulas sama ada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) akan bertindak meneliti semula pengurangan pengeluaran apabila harga minyak mentah Brent tidak menentu, Ketua Minyak dan Gas BMI Joseph Gatdula berkata organisasi itu telah menyatakan untuk mengambil kira keadaan pasaran apabila melaksanakan rancangan menambah pengeluaran yang diputuskan dalam mesyuarat pada Jun 2024.
"Jika harga minyak mentah kekal lemah, ini meningkatkan risiko kemungkinan pengurangan pengeluaran dalam tempoh lebih lama daripada yang dirancang," katanya kepada Bernama.
Gatdula menjangkakan kemerosotan pasaran minyak pada masa ini mungkin berlarutan berikutan kebanyakan faktor positif telah berkurang disebabkan situasi pasaran kepada permintaan adalah lemah.
"Dari sudut positif, kami mendapati gangguan bekalan (pengeluaran dari negara Teluk utama atau gangguan trafik kapal tangki di Selat Hormuz) menjadi faktor utama bagi perubahan sebaliknya ini, berbanding aliran menurun baru-baru ini.
"Apa-apa sahaja konflik yang meningkat di Israel menyebabkan prospek harga minyak yang lebih tinggi, tetapi cabaran ekonomi akan menanganinya," katanya.
BMI mengunjurkan dalam tempoh terdekat harga minyak dijangka meningkat berbanding paras semasa, menghampiri paras AS$80 setong, terutama disebabkan keadaan terlebih jual dalam kemerosotan terkini harga minyak mentah serta bukti yang lebih kukuh mengenai penurunan kadar di AS.
"Ini seharusnya merangsang pelaburan baharu dan pertumbuhan ekonomi yang menyokong naratif pertumbuhan permintaan minyak mentah yang lebih teguh," kata Gatdula.
Potensi lebihan bekalan bermula akhir tahun ini adalah dijangka jika negara-negara OPEC+ meneruskan rancangan untuk memulakan pengurangan secara sukarela, katanya.
Lebihan bekalan yang semakin meningkat dijangka berlaku pada akhir tahun ini dan 2025, kata Gatdula sambil memaklumkan permintaan paras kemuncak pada musim panas di pasaran utama dijangka lebih rendah berbanding jangkaan terdahulu.
Beliau menegaskan pertambahan stok bahan api dan minyak mentah baru-baru ini, atau dalam sebahagian situasi pada tahap stabil, adalah berbeza berbanding jangkaan pengeluaran stok.
"Stok minyak mentah dan bahan api yang berdaya tahan menunjukkan permintaan tidak seiring dengan bekalan.
"Ini boleh meningkatkan lagi inventori sekiranya OPEC+ meneruskan hasrat menambah pengeluarannya," kata Gatdula.
-- BERNAMA
#pasaran minyak #kemelesetan #ketegangan geopolitik #harga minyak
;