Pasaran Korea Selatan, Jepun jatuh susulan ujian bom 'hidrogen'

Najib Aroff
Januari 6, 2016 17:36 MYT
Korea Selatan dan Jepun mengutuk keras tindakan itu dan dianggap melanggar resolusi PBB-Foto AFP
Korea Selatan dan Jepun mengutuk keras tindakan itu dan dianggap melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Serentak itu, pasaran Korea Selatan dan Jepun menyaksikan kejatuhan pada penutup tengahari susulan kegusaran pelabur atas ketegangan negara berjiran itu.
Nilai matawang Won jatuh 0.8 peratus kepada 1197.85 Won berbanding Dolar disamping indeks Kospi turut jatuh 1 peratus.
Indeks Nikkei 225 menutup sesi pagi dengan kejatuhan 1.2 peratus.
Pakar berkata ketegangan geopolitik dua Korea mewujudkan ketidaktentuan dalam nilai Won dan juga nilai Yuan.
Bagaimanapun ia dijangka hanya bersifat sementara.
Korea Utara mengesahkan ujian tersebut dalam satu siaran televisyen.
Negara jiran Korea Selatan mengecam hebat tindakan itu dan bersedia memperkukuh sekatan terhadap negara komunis itu.
Sementara itu Jepun menyifatkan ujian itu sebagai ancaman kepada negara itu.
Jepun sebagai ahli tidak tetap di Majlis Keselamatan PBB katanya akan bekerjasama dengan Amerika Syarikat, Korea Selatan, China dan Rusia untuk mengambil langkah tegas.
Bagi pelabur meskipun ujian nuklear itu menjejaskan pasaran namun sejarah menunjukan sebaliknya.
Berdasarkan ujian pada 2006, 2009 dan 2013, kerugian di pasaran Korea dan dunia hanya bersifat sementara.
Apa yang lebih membimbangkan bagi pelabur adalah kejatuhan pasaran China.
Bagaimanapun pakar ekonomi Jepun berpendapat ujian bom itu menimbulkan kegusaran pelabur terhadap ketegangan geopolitik serantau.
Ia merupakan ujian nuklear ke empat di Korea Utara dan kedua di bawah pimpinan Kim Jong Un.
Tindakan itu dilihat provokasi terang-terangan dan menghalang usaha Amerika dan China untuk memulakan semula rundingan pelucutan senjata bersama Korea Utara.
#indeks Kospi #indeks Nikkei #Jepun #Kim Jong Un #Korea Selatan #Korea Utara #Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) #Nilai matawang Won #ujian bom hidrogen
;