Pasaran kewangan Malaysia kekal teratur di tengah asakan volatiliti pasaran global - Bank Negara

Bernama
Mac 29, 2023 11:43 MYT
Tekanan sistem perbankan di beberapa ekonomi maju telah meningkatkan volatiliti dalam pasaran bon dan pasaran ekuiti di seluruh dunia. - Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keadaan pasaran kewangan domestik kekal teratur pada Separuh Kedua 2022 (2H 2022) dalam keadaan volatiliti pasaran kewangan global yang ketara, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
BNM dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan 2H 2022 yang dikeluarkan hari ini berkata, keadaan kewangan global mengetat pada separuh kedua tahun 2022 apabila bank-bank pusat utama meningkatkan kadar dasar secara agresif untuk menangani tahap inflasi yang tinggi.
"Tekanan sistem perbankan di beberapa ekonomi maju telah meningkatkan volatiliti dalam pasaran bon dan pasaran ekuiti di seluruh dunia.
"Perkembangan global ini turut menjejaskan pasaran kewangan Malaysia dan menyebabkan pasaran pertukaran wang asing, bon dan wang mengalami volatiliti yang lebih tinggi," katanya.
Bank pusat berkata, Indeks Tekanan Pasaran Kewangan (FMSI) pada Separuh Kedua 2022 telah meningkat ke tahap yang dicatatkan pada pertengahan tahun 2020 tetapi masih kekal di bawah tahap tertinggi yang dicatatkan pada permulaan pandemik pada Mac 2020.
"Meskipun volatiliti terus ketara dalam pasaran kewangan domestik, keadaan pasaran kekal teratur dan pengantaraan aliran dua hala dalam pasaran bon dan pasaran ekuiti berjalan dengan lancar.
"Keadaan ini telah menyokong pengumpulan dana oleh perniagaan melalui pasaran modal," katanya.
BNM berkata mudah tunai dalam pasaran bon kerajaan pula kekal kukuh.
"Yang ketara, keadaan mudah tunai dalam sistem perbankan sebahagian besarnya tidak terjejas oleh penarikan balik fleksibiliti pengawalseliaan yang diberikan semasa pandemik dan tekanan perbankan di Amerika Syarikat dan Eropah baru-baru ini," katanya.
Bagi pasaran ekuiti, pelonggaran keadaan kewangan global menjelang akhir tahun 2022, kegiatan ekonomi dalam negeri yang lebih kukuh, dan sentimen pelabur yang positif berikutan peralihan politik yang teratur susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 telah memberikan sokongan kepada pasaran ekuiti domestik pada suku keempat tahun 2022.
"Bagi tahun 2022 secara keseluruhan, pelabur bukan pemastautin merupakan pembeli bersih dalam pasaran ekuiti domestik (aliran masuk bersih sebanyak RM4.4 bilion), selepas mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak empat tahun berturut-turut sejak tahun 2018," katanya.
Sementara itu, pasaran bon korporat terus berfungsi secara teratur dalam menyokong aktiviti pengumpulan dana korporat pada Separuh Kedua 2022.
Terbitan bon korporat kasar meningkat dengan mendadak (Ogos 2022-Januari 2023: RM94.7 bilion; Ogos 2019-Januari 2020: RM48.8 bilion), sebahagian besarnya didorong oleh satu terbitan besar oleh pengendali tol lebuh raya utama pada bulan Disember (RM25.2 bilion).
Dalam pasaran pertukaran asing, pergerakan ringgit terus dipengaruhi oleh faktor luaran berikutan pertumbuhan global dan prospek inflasi yang berubah-ubah.
Ringgit mencatatkan paras terendahnya apabila ditutup pada 4.7480 pada awal November 2022 ketika dolar AS meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun susulan tindakan monetari yang diperketat secara agresif oleh Bank Pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed).
Nilai ringgit seterusnya menjadi kukuh menjelang akhir tahun 2022 terutamanya susulan muncul tanda-tanda bahawa Fed mungkin memperlahankan keagresifan dasar monetari AS.
"Pelarasan terhadap ringgit adalah teratur, disokong oleh mudah tunai yang berterusan dalam pasaran pertukaran asing dalam negeri.
"Keadaan ini akan terus membantu perniagaan dan peserta pasaran untuk menguruskan dedahan pertukaran asing mereka," kata bank pusat.
#pasaran kewangan domestik #Bank Negara Malaysia #Tinjauan Kestabilan Kewangan #Inflasi
;