Pasaran hartanah Malaysia dijangka stabil tahun ini

Bernama
Januari 23, 2024 06:30 MYT
PropertyGuru menjangkakan beberapa aliran yang akan memberi impak ke atas sektor hartanah pada tahun ini, termasuk aspek kelestarian dan keterangkuman dalam pasaran hartanah tempatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah Malaysia diunjur stabil pada 2024, walaupun dalam senario ketidaktentuan ekonomi dengan kawasan dan subpasaran dijangka mencatat pertumbuhan lebih memberangsangkan.
Pengurus Negara PropertyGuru Sheldon Fernandez berkata terdapat kemungkinan peralihan minat sementara pembeli terhadap pasaran sewa berikutan ketidakmampuan pemilikan rumah yang berterusan.
"Peluang sebenarnya ada bagi pemilik dan pembeli kediaman di kawasan pilihan tertentu atau yang kurang mendapat permintaan.
"Keadaan itu ditambah lagi dengan inflasi yang mereda dan inisiatif bersasar kerajaan, memberi sokongan untuk pembeli rumah dan membantu menjadikan pasaran lebih seimbang.
"Meskipun cabaran terus ada, kami mengekalkan unjuran yang optimis secara berhati-hati terhadap pasaran hartanah," katanya pada sesi webinar mengenai unjuran pasaran hartanah PropertyGuru 2024, pada Selasa.
Bagi masa depan, PropertyGuru menjangkakan beberapa aliran yang akan memberi impak ke atas sektor hartanah pada tahun ini, termasuk aspek kelestarian dan keterangkuman dalam pasaran hartanah tempatan.
"Kalangan pemaju perlu mempertimbang gaya hidup dan minat pengguna apabila merancang projek-projek perumahan. Ini berikutan harga hartanah yang tinggi akan menyebabkan bakal pembeli terpaksa membuat banyak pertimbangan sebelum bertindak membeli rumah pertama.
"Selain daripada peningkatan minat terhadap projek-projek mampan, kalangan pemaju juga bekerjasama dengan bank-bank untuk menangani objektif sosial seperti kesaksamaan gender dan kemajuan hak wanita yang dijangka berterusan pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata keadaan membabitkan hartanah siap tidak terjual dijangka bertambah baik pada tahun ini.
"Pada tahun lepas, kerajaan komited untuk menangani isu yang berlanjutan dengan penubuhan pasukan petugas khas untuk mengenal pasti isu projek rumah 'sakit' serta tidak terjual. Malah, kami melihat perkembangan lebih baik dalam perkara ini," katanya.
Fernandez juga menyifatkan inisiatif bersasar kerajaan, termasuk Skim Jaminan Kredit Perumahan dengan peruntukannya dinaikkan kepada RM10 bilion di bawah Belanjawan 2024, dapat mengurangkan kos pemilikan rumah bagi pembeli.
"Seiring dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang menyederhana, kami meminta kerajaan untuk menangani cabaran lebih besar seperti kos sara hidup dan pendapatan yang tepu.
"Usaha menangani isu sedemikian adalah penting bagi menggalakkan permintaan serta dapat merancakkan semula pasaran," katanya.
-- BERNAMA
#pasaran hartanah #ekonomi malaysia #PropertyGuru #pembelian rumah
;