Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi jejaki prestasi serantau
Bernama
April 30, 2024 22:59 MYT
April 30, 2024 22:59 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia meneruskan aliran meningkatnya dengan ditutup tinggi pada Selasa, seiring dengan pengukuhan niaga hadapan getah Shanghai berikutan sentimen dirangsang oleh data ekonomi China yang menggalakkan, kata seorang peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun turut melonjak dalam persekitaran yen yang lemah.
"Dilaporkan aktiviti pembuatan China berkembang pada tahap yang terpantas dalam 14 bulan pada April dipacu oleh peningkatan yang kukuh pesanan baharu, mencerminkan keadaan ekonomi yang menggalakkan meskipun masih bergelut untuk pemulihan yang lebih baik," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh petunjuk yang lemah harga minyak mentah dan ringgit yang kukuh berbanding dolar AS, berikutan peniaga sedang berhati-hati sambil menunggu keputusan mesyuarat dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat minggu ini.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik 2.0 sen kepada 759 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok 4.5 sen kepada 709.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukam LGM bagi SMR 20 fizikal berada pada 755 sen manakala lateks pukal pada 711 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup pada Rabu, 1 Mei, 2024, sempena cuti umum Hari Pekerja dan dibuka semula pada Khamis, 2 Mei, 2024.
-- BERNAMA