Pasaran getah Malaysia ditutup rendah
Bernama
Mei 15, 2024 21:30 MYT
Mei 15, 2024 21:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Rabu, berikutan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan aliran bercampur-campur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau.
Peniaga berkata peserta pasaran bertindak balas terhadap perkembangan terkini dalam perdagangan China-AS selepas AS mengumumkan kenaikan tarif ke atas import China.
"Walau bagaimanapun, kenaikan harga minyak mentah penanda aras dan langkah berterusan China telah mengehadkan penurunan selanjutnya," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Oon Kim Hung berkata kenaikan tarif AS ke atas barangan China berkemungkinan memberi petanda baik bagi peserta sarung tangan getah Malaysia.
Namun, pihaknya menjangkakan tiada kesan serta-merta kerana tindakan AS itu akan berkuat kuasa pada 2026, katanya.
Beliau berkata kira-kira 35 peratus daripada eksport sarung tangan getah Malaysia adalah untuk pasaran AS, menyumbang kira-kira RM4 bilion pada 2023.
"Walau bagaimanapun, AS juga mempunyai pengeluaran domestik. Kami yakin pengeluar Malaysia akan terus melabur dalam perkara alam sekitar, sosial dan tadbir urus, seterusnya menetapkan harga yang mampan dan saksama," katanya.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut 1.5 sen kepada 772.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 1.0 sen kepada 726.0 sen sekilogram.
Sementara itu, pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal untuk GMM 20 berada pada 775 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 726.0 sen sekilogram.
-- BERNAMA