Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur

Bernama
Mei 30, 2024 22:09 MYT
Pada 5 petang, harga rujukan MRB bagi SMR 20 fizikal berada pada 856 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 783 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari ini seiring dengan pergerakan di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Bagaimanapun, beliau berkata penurunan selanjutnya dihadkan oleh harga minyak mentah yang stabil dan kelemahan ringgit berbanding dolar AS, apabila kebimbangan berterusan terhadap bekalan rendah getah memberi sokongan terhadap pasaran.
Peniaga itu berkata niaga hadapan getah Jepun ditutup tinggi bagi sesi ketujuh berturut-turut pada Khamis, seiring dengan kenaikan di pasaran getah Shanghai, walaupun dikekang oleh harga minyak rendah dan yen yang kukuh.
Beliau merujuk kepada laporan yang menunjukkan pengembangan berterusan aktiviti ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dari awal April hingga pertengahan Mei, dibayangi oleh ketidakpastian dalam kalangan syarikat tentang masa depan berikutan permintaan pengguna yang lemah selain peningkatan sederhana inflasi.
Mengenai harga minyak, beliau berkata, dagangan di Asia stabil pada Khamis dengan keyakinan pengeluaran inventori AS yang lebih besar daripada jangkaan diimbangi oleh pendirian berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi utama yang mungkin mempengaruhi kadar faedah.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 turun 0.5 sen kepada 839 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat dua sen kepada 782 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan MRB bagi SMR 20 fizikal berada pada 856 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 783 sen sekilogram.
-- BERNAMA
#pasaran getah #kadar faedah #aktiviti ekonomi #niaga hadapan
;