Pasaran getah ditutup tinggi susulan kebimbangan bekalan getah asli terhad

Bernama
Oktober 28, 2024 20:45 MYT
Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 869.0 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada 748.5 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Isnin disokong oleh kebimbangan bekalan getah asli yang terhad disebabkan ramalan cuaca buruk di negara pengeluar utama, kata seorang peniaga.
Menurut agensi meteorologi Thailand, hujan lebat mungkin menyebabkan banjir kilat dari 27 Oktober hingga 2 Nov, 2024.
Peniaga itu berkata sentimen juga dipacu oleh pembelian berterusan, disokong oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh prestasi lemah pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan petunjuk bercampur-campur mengenai ekonomi China dan berlaku penurunan dalam harga minyak mentah," katanya kepada Bernama.
Dilaporkan hasil fiskal China dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024 susut 2.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas manakala harga minyak merudum lebih US$3 setong pada Isnin selepas serangan balas Israel ke atas Iran pada hujung minggu lepas, tidak mengganggu kemudahan minyak dan nuklear Tehran serta tidak mengganggu bekalan tenaga.
Pada masa ini, penanda aras minyak mentah Brent berkurang 5.42 peratus kepada US$71.94 setong.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM 20) meningkat sebanyak lapan sen kepada 863.0 sen sekilogram manakala lateks pukal berkembang kepada dua sen kepada 748.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 869.0 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada 748.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
#banjir kilat #cuaca buruk #hujan lebat #minyak mentah Brent
;