Pasaran getah ditutup tinggi disokong pasaran hadapan getah serantau

Bernama
September 5, 2024 21:00 MYT
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk GMM 20 fizikal berada pada 779.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 661.0 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Khamis, disokong oleh aliran menaik dalam pasaran hadapan getah serantau dan kenaikan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun melonjak semula pada Khamis selepas menurun dalam tiga sesi berturut-turut, dipacu oleh harga getah sintetik yang lebih tinggi dan harga minyak yang stabil.
Peniaga itu berkata harga minyak meningkat selepas menjunam ke paras terendah, kerana pengeluar utama dijangka menangguhkan peningkatan dalam pengeluaran yang dirancang untuk bulan depan dan kejatuhan dalam inventori Amerika Syarikat (AS).
Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent meningkat 0.76 peratus kepada US$73.25 setong.
Bagaimanapun, kenaikan disekat oleh kebimbangan berterusan terhadap permintaan.
Beliau juga berkata harga yang tinggi itu disokong oleh permintaan yang bertambah baik di China, serta kebimbangan mengenai bekalan getah asli yang terhad disebabkan ramalan cuaca yang buruk di negara-negara pengeluar getah utama.
"Sentimen positif pasaran terus meningkat disebabkan keyakinan terhadap kemungkinan pemotongan kadar faedah di AS.
"Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan apabila ringgit mengukuh berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.
Pada 5 petang, mata wang tempatan meningkat berbanding dolar AS kepada 4.3355/3395 berbanding 4.3505/3560 ketika ditutup pada Rabu.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) naik enam sen kepada 782.0 sen sekilogram, manakala susu getah pukal naik dua sen kepada RM662.0 sen sekilogram.
Sementara itu, pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk GMM 20 fizikal berada pada 779.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 661.0 sen sekilogram.
-- BERNAMA
#harga minyak #LGM #harga rujukan #mata wang tempatan
;