Pasaran getah ditutup tinggi disokong kenaikan harga minyak mentah

Bernama
Mei 6, 2024 22:28 MYT
Harga LGM bagi SMR 20 meningkat 1.5 sen kepada 755 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok 1.5 sen kepada 718.5 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Isnin, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan ringgit yang lemah berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.
Beliau berkata pembukaan semula pasaran China selepas cuti panjang, ditambah dengan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi negara itu juga membantu merangsang pasaran tempatan.
"Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh prestasi bercampur-campur di pasaran niaga hadapan getah serantau dan kebimbangan berlarutan terhadap konflik geopolitik yang berterusan di Timur Tengah," katanya kepada Bernama.
Pada 5.08 petang, penanda aras harga minyak mentah Brent naik 0.83 peratus kepada US$83.65 setong.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Standard Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 1.5 sen kepada 755 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok 1.5 sen kepada 718.5 sen sekilogram.
Sementara itu, pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal berada pada 757.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 719.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
#minyak mentah #SMR 20 #konflik geopolitik #lateks pukal
;