Pasaran getah ditutup tinggi
Bernama
Ogos 21, 2024 20:38 MYT
Ogos 21, 2024 20:38 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Rabu sejajar dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Sentimen pasaran turut dipacu oleh prospek permintaan yang bertambah baik, terutamanya dari China, walaupun terdapat kebimbangan terhadap bekalan getah asli yang luar biasa terhad, katanya.
"China mengimport 467,100 tan getah asli pada Julai 2024, jauh lebih tinggi daripada 329,700 tan yang diimport pada bulan sebelumnya (Jun).
"Walaupun import pulih, jumlah inventori di gudang Qingdao terus menurun, mencerminkan peningkatan ketara dalam penggunaan getah asli oleh syarikat pembuatan," katanya kepada Bernama.
Peniaga itu berkata niaga hadapan getah Jepun juga meningkat pada Rabu ke paras tertinggi dalam tempoh lapan minggu, didorong oleh lonjakan harga getah sintetik dan fizikal.
"Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan petunjuk seterusnya daripada Rizab Persekutuan AS mengenai hala tuju dasar monetari AS," katanya.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat tiga sen kepada 780 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 1.5 sekilogram kepada 632 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk fizikal SMR 20 berada pada 787.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 634.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA