Pasaran getah ditutup rendah susulan prestasi lemah niaga hadapan serantau
Bernama
Ogos 6, 2024 20:50 MYT
Ogos 6, 2024 20:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur meneruskan aliran menurunnya dan ditutup rendah hari ini dipengaruhi oleh prestasi lemah pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Bagaimanapun, beliau berkata penurunan selanjutnya dihadkan oleh pemulihan harga minyak dan prestasi ringgit yang lebih baik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
"Sentimen pasaran juga disokong oleh prospek kemungkinan penurunan kadar faedah AS dan gangguan bekalan getah asli yang berterusan," katanya kepada Bernama.
Hari ini, ringgit merosot daripada kenaikan selama 12 harinya, turun kepada 4.4695/4755 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4240/4305 pada Isnin.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun sebanyak enam sen kepada 757.5 sen sekilogram manakala lateks pukal merosot sebanyak dua sen kepada 628 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal berada pada 758.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal berada pada 625.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA