Pasaran getah ditutup rendah susulan kebimbangan terhadap permintaan

Bernama
Ogos 5, 2024 14:24 MYT
Pada 5 petang, harga rujukan getah fizikal LGM untuk GMM 20 berada pada 763.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 630 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Isnin di tengah-tengah kebimbangan terhadap permintaan getah asli, kata seorang peniaga.
Beliau juga menyatakan kejatuhan itu disebabkan oleh data buruh yang lemah dari Amerika Syarikat (AS), yang telah menimbulkan kebimbangan tentang kemelesetan dan ringgit yang terus mengukuh berbanding dolar AS.
Bagaimanapun, kejatuhan seterusnya dihadkan oleh sedikit pemulihan dalam harga minyak mentah dan kenaikan dalam pasaran hadapan getah serantau di tengah-tengah kebimbangan bekalan getah asli akibat cuaca yang tidak baik di negara-negara pengeluar getah asli utama," katanya kepada Bernama.
Pada 5.01 petang, ringgit mengukuh kepada 4.4250/4315 berbanding dolar AS daripada 4.4945/4995 ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Beliau juga berkata Thailand, Myanmar, Laos, Vietnam, dan India mungkin menghadapi gangguan dalam bekalan getah asli mereka.
Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) telah memberi amaran hujan lebat berserta ribut petir dan banjir kilat dari 5-10 Ogos di pelbagai wilayah di Thailand, termasuk kawasan utama penanaman getah.
Hujan dan banjir juga dijangka menjejaskan beberapa kawasan penanaman getah di Myanmar, Laos, Vietnam, dan India.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun lapan sen kepada 770.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal jatuh dua sen kepada 631 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan getah fizikal LGM untuk GMM 20 berada pada 763.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 630 sen sekilogram.
-- BERNAMA
#banjir kilat #harga minyak #hujan lebat #dolar AS