Pasaran getah ditutup rendah
Bernama
September 9, 2024 21:17 MYT
September 9, 2024 21:17 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Isnin berikutan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China mempengaruhi sentimen.
Bagaimanapun, niaga hadapan getah Jepun meningkat untuk sesi kedua berturut-turut hari ini, disokong oleh penurunan yen dan kebimbangan cuaca lembap yang berterusan di negara pengeluar utama Thailand.
"Di China, Biro Statistik Kebangsaan melaporkan bahawa Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat kurang daripada jangkaan sebanyak 0.6 peratus berbanding Ogos setahun lepas.
"Indeks Harga Pengeluar (PPI) nya merosot 1.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, mencetuskan semula pelaksanaan langkah rangsangan selanjutnya bagi menyokong ekonomi yang masih bergelut," kata seorang peniaga kepada Bernama.
Bagaimanapun, beliau berkata kemerosotan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS dan pemulihan harga minyak mentah, di tengah-tengah cuaca tidak menggalakkan di negara pengeluar getah asli utama.
Pada 5.03 petang, harga minyak mentah Brent naik 1.15 peratus kepada US$71.93 setong.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 4.5 sen kepada 793.50 sen sekilogram manakala lateks pukal naik setengah sen kepada 664 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk fizikal SMR 20 berada pada 812 sen sekilogram manakala lateks pukal 667.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA