Pasaran getah ditutup rendah

Bernama
Ogos 20, 2024 21:15 MYT
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 777 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 630.50 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah hari ini, dipengaruhi oleh penurunan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras global dan petunjuk bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata harga turut didorong oleh ekonomi China yang lemah, yang terus menjejaskan sentimen pasaran.
"Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh kebimbangan mengenai gangguan bekalan getah asli di negara pengeluar utama," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata agensi meteorologi negara pengeluar getah utama, Thailand memberi amaran mengenai hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat dari 19 hingga 25 Ogos.
Sementara itu, katanya niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Selasa, didorong oleh harga getah sintetik yang lebih kukuh dan kebimbangan mengenai bekalan global walaupun yen lebih kukuh dan harga minyak yang rendah mengehadkan kenaikan.
Beliau berkata pada Selasa, People's Bank of China mengekalkan kadar faedah pinjaman utama tidak berubah pada 3.35 selepas pengurangan yang mengejut pada Julai dengan Beijing mengekalkan dasar monetari yang amat longgar untuk membantu menyokong pertumbuhan ekonomi.
Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent merosot 0.66 peratus kepada US$77.15 setong.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot 4.5 sen kepada 774 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan satu sen kepada 630 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 777 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 630.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA
#banjir kilat #minyak mentah Brent #hujan lebat #kadar faedah