Pasaran getah ditutup lebih tinggi berikutan bekalan yang terhad

Bernama
Julai 26, 2024 13:12 MYT
Pada petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal berada pada 767 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 626.5 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi hari ini, disokong oleh kebimbangan bekalan yang terhad berikutan ramalan cuaca buruk di Thailand dan di tengah-tengah aliran menaik dalam pasaran niaga hadapan getah serantau.
Menurut seorang peniaga, sentimen pasaran turut dirangsang oleh data yang mencerminkan peningkatan prestasi ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak mentah.
"Harga minyak naik pada hari ini tetapi kekal di haluan untuk penurunan minggu ketiga berturut-turut disebabkan oleh permintaan yang agak lemah oleh pengimport minyak mentah terbesar dunia, China selain jangkaan perjanjian gencatan senjata di Gaza serta keganasan yang berkaitan di Timur Tengah," katanya.
Niaga hadapan getah Jepun menokok pada hari Jumaat, menjejaki kenaikan harga getah sintetik dan minyak.
Bagaimanapun, keuntungan selanjutnya telah dihadkan oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar US dan keganasan berterusan di Timur Tengah.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 naik 12 sen kepada 772.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal bertambah 0.5 sen kepada 625.50 sen sekilogram.
Pada petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal berada pada 767 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 626.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
#cuaca buruk #harga minyak #gencatan senjata #LGM