Pasaran getah ditutup bercampur-campur seiring pasaran serantau

Bernama
Ogos 22, 2024 21:39 MYT
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal berada pada 777 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 636 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Khamis seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau.
Seorang peniaga berkata kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) telah memperlahankan permintaan terhadap komoditi itu.
Bagaimanapun, penurunan selanjutnya pasaran getah dihadkan oleh ringgit yang lebih lemah.
"Selain itu, penurunan turut dihadkan oleh kebimbangan berterusan terhadap bekalan terhad getah asli susulan keyakinan tinggi AS akan menurunkan kadar faedahnya," katanya kepada Bernama.
Peniaga itu berkata minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) pada akhir Julai menunjukkan penggubal dasar mengutamakan kadar faedah yang lebih rendah, seterusnya meningkatkan keyakinan terhadap kemungkinan penurunan kadar itu pada September.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 8.5 sen kepada 779 sen sekilogram (kg) manakala lateks pukal naik 1.5 sen kepada 636 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal berada pada 777 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 636 sen sekilogram.
-- BERNAMA
#Rizab Persekutuan AS #kelembapan ekonomi #lateks pukal #LGM
;