Pasaran getah ditutup bercampur-campur, seiring pasaran niaga hadapan serantau
Bernama
Oktober 23, 2024 21:35 MYT
Oktober 23, 2024 21:35 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Rabu, bergerak seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau susulan sentimen berhati-hati, kata seorang peniaga.
Beliau memberitahu Bernama sentimen pasaran dipengaruhi oleh ketidaktentuan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) selain peniaga mencerna laporan terbaharu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
IMF mengunjurkan inflasi global akan turun kepada 3.5 peratus tahun ke tahun menjelang akhir 2025 daripada 5.8 peratus pada 2024.
Pertumbuhan global dianggarkan pada 3.2 peratus untuk 2024 dan 2025 susulan prospek pertumbuhan jangka panjang yang lebih lemah serta peningkatan risiko geopolitik.
Sementara itu, niaga hadapan getah Jepun meningkat hari ini dirangsang oleh yen yang lebih lemah dan harga getah sintetik yang lebih tinggi, walaupun prospek ketegangan perdagangan yang meningkat susulan permintaan domestik yang lemah di China, sebagai pengguna utama yang mengehadkan kenaikan tersebut.
Bagaimanapun, penurunan selanjutnya terhad oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS," kata peniaga itu.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) menyusut sebanyak 5.5 sen kepada 861.50 sen sekilogram manakala lateks pukal berkembang 0.5 sen kepada 754.00 sen sekilogram.
Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 856.50 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada 752.00 sen sekilogram.
-- BERNAMA