Pasaran getah ditutup bercampur-campur
Bernama
November 29, 2024 20:45 MYT
November 29, 2024 20:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Jumaat berikutan kebimbangan mengenai gangguan bekalan yang disebabkan oleh hujan dan banjir di negara pengeluar utama, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran turut didorong oleh jangkaan data ekonomi China yang lebih baik dipacu oleh rangsangan fiskal tambahan negara dan kenaikan harga minyak mentah selain peniaga memantau ketidaktentuan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
"Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS menjelang data ekonomi China," katanya kepada Bernama.
Katanya niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Jumaat dan dijangka naik minggu ini, disokong oleh data ekonomi yang kukuh daripada pengguna utama China dan harga getah sintetik yang tinggi.
"Dilaporkan selatan Thailand terus mengalami hujan lebat, dengan Jabatan Meteorologi negara itu memberi amaran bahawa hujan lebat akan berterusan di lapan wilayah sehingga 1 Disember, menjadikan situasi lebih teruk berikutan keadaan banjir yang sudah kritikal selepas seminggu hujan tanpa henti.
"Sementara itu, beberapa negeri pengeluar getah di Malaysia dilanda banjir teruk akibat hujan yang berterusan," katanya.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 9.5 sen kepada 879 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot 3.5 sen kepada 673.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang, SMR 20 berada pada 875.5 sen sekilogram dan susu getah pukal sebanyak 672 sen sekilogram.
-- BERNAMA