Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Bernama
November 25, 2024 23:06 MYT
Pada 5 petang, SMR 20 kekal pada 847 sen sekilogram dan lateks pukal berada pada 682.5 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Isnin, didorong oleh momentum meningkat dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dengan kebimbangan mengenai gangguan bekalan getah asli, kata peniaga.
Namun, katanya kenaikan seterusnya dihadkan oleh penyusutan harga minyak mentah berikutan kebimbangan isu geopolitik di Eropah Timur dan Asia Barat yang masih berlarutan.
"Harga minyak merosot pada Isnin selepas kenaikan enam peratus minggu lepas tetapi kekal hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh dua minggu berikutan ketegangan geopolitik meningkat antara kuasa Barat dan pengeluar utama minyak iaitu Rusia dan Iran, meningkatkan risiko gangguan bekalan," katanya kepada Bernama.
Peniaga itu berkata agensi meteorologi Thailand sudah mengeluarkan amaran hujan lebat di selatan negara itu, yang boleh mengakibatkan banjir kilat dan limpahan terutama di kawasan kaki bukit, berhampiran laluan air dan di tanah rendah yang dijangka berlarutan sehingga 30 Nov.
Keadaan cuaca buruk itu boleh menjejaskan bekalan getah asli kerana selatan Thailand adalah kawasan pengeluaran utama, yang berpotensi memberi impak kepada pasaran tempatan dan global.
Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent merosot 0.67 peratus kepada US$74.73 setong.
Beliau berkata sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh langkah Donald Trump mencalonkan pelabur terkemuka Scott Bessent sebagai Setiausaha Perbendaharaan dan Bessent dilihat lebih bersikap sederhana dalam melaksanakan tarif perdagangan.
Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM), harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 4.5 sen kepada 846.5 sen sekilogram manakala lateks pukal merosot satu sen kepada 683 sekilogram.
Pada 5 petang, SMR 20 kekal pada 847 sen sekilogram dan lateks pukal berada pada 682.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
#banjir kilat #cuaca buruk #harga minyak #Donald Trump
;