Pasaran getah ditutup bercampur-campur
Bernama
Oktober 8, 2024 20:19 MYT
Oktober 8, 2024 20:19 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari ini dipengaruhi oleh momentum penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan penurunan penanda aras harga minyak mentah, kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran juga terjejas susulan kebimbangan mengenai kelewatan pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) selain konflik Timur Tengah yang semakin meruncing.
"Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kebimbangan bekalan getah asli yang terhad di negara pengeluar berikutan ramalan cuaca hujan," katanya kepada Bernama.
Peniaga tersebut berkata niaga hadapan getah Jepun merosot pada Selasa, disebabkan kebimbangan mengenai kelewatan pelaksanaan undang-undang utama penyahhutanan Kesatuan Eropah, walaupun pakej rangsangan luar biasa dari pengguna terkemuka, China memberikan sokongan.
"Harga minyak turun pada Selasa, merosot selepas kebimbangan berterusan terhadap konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah yang mendorong kenaikan kukuh sepanjang minggu lalu," katanya.
Sementara itu, kata peniaga berkenaan, dilaporkan Suruhanjaya Eropah akan mencadangkan penangguhan pelaksanaan undang-undang yang melarang import komoditi berkaitan dengan penyahhutanan selama setahun yang dikuatkuasakan pada 2 Oktober lepas, berikutan terdapat desakan dari industri dan kerajaan seluruh dunia.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga getah mutu Malaysia (GMM 20) susut sebanyak 4.0 sen kepada 895.5 sen setiap kilogram manakala lateks pukal naik sebanyak 0.50 sen kepada 747.5 sen setiap kilogram.
Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 886 sen sekilogram manakala lateks pukal mencapai 749.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA