Pasaran getah ditutup bercampur-campur
Bernama
Julai 25, 2024 21:23 MYT
Julai 25, 2024 21:23 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari ini berikutan aliran menurun dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan penurunan harga minyak mentah.
Menurut seorang peniaga, sentimen pasaran turut terjejas oleh penurunan permintaan getah asli dari China dan ringgit yang kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
"Harga minyak menyusut pada Khamis berikutan kebimbangan terhadap permintaan China yang lemah, iaitu pengimport terbesar dunia dan jangkaan perjanjian gencatan senjata di Timur Tengah. Faktor ini mengimbangi peningkatan sesi sebelum ini, yang dipacu oleh pengurangan inventori AS," katanya.
Sementara itu, beliau berkata niaga hadapan getah Jepun turun hampir dua peratus pada Khamis, terjejas ekoran yen yang lebih kukuh dan harga minyak yang rendah.
"Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh langkah rangsangan China yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi ekonomi, serta kebimbangan bekalan yang terhad berikutan ramalan cuaca buruk di Thailand," katanya.
Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran hujan dan petir serta hujan lebat terpencil di negara itu, dengan hujan lebat dijangka berlaku di timur, bahagian barat utara, dan wilayah tengah dari 25 hingga 26 Julai.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun lapan sen kepada 764.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 2.5 sen kepada 625.00 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi fizikal SMR 20 berada pada 760.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 625.0 sen sekilogram.
-- BERNAMA