Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Bernama
Julai 4, 2024 20:55 MYT
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk fizikal SMR 20 berada pada 787 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 682.5 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Peniaga itu berkata harga Getah Mutu Malaysia (SMR20) meningkat sedikit disokong oleh kebimbangan bekalan yang terhad berikutan ramalan cuaca La Nina di Thailand.
Menurutnya, sentimen pasaran turut dirangsang oleh peningkatan pasaran ekuiti global.
"Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh penurunan harga penanda aras minyak mentah, ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dan data ekonomi yang lebih lemah dilaporkan di Amerika Syarikat (AS)," katanya kepada Bernama.
Peniaga itu berkata harga minyak merosot daripada paras tertinggi dua bulan dalam dagangan Asia pada Khamis, apabila peniaga mengumpul keuntungan daripada kenaikan kukuh minggu ini, manakala data ekonomi AS yang lemah mencetuskan kebimbangan terhadap permintaan jangka panjang.
Menurutnya, corak cuaca La Nina dijangka memberi kesan kepada ladang getah di Thailand, yang mungkin mengurangkan hasil getah dan meningkatkan kerentanan kepada penyakit daun.
Sementara itu, beliau berkata saham Asia mencecah paras tertinggi dalam tempoh 27 bulan pada Khamis apabila data AS yang lebih rendah mengecilkan kemungkinan penurunan kadar pada September, meningkatkan bon dan komoditi dan menyeret turun dolar.
Institut Pengurusan Bekalan AS berkata indeks pengurus pembelian bukan pembuatan bagi aktiviti sektor perkhidmatan turun ke paras terendah dalam tempoh empat tahun pada 48.8 bulan lepas, paras terendah sejak Mei 2020, daripada 53.8 pada Mei 2024, membayangkan kehilangan momentum ekonomi pada akhir suku kedua," katanya.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 naik 0.5 sen kepada 792.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun 2.0 sen kepada 685.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk fizikal SMR 20 berada pada 787 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 682.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
#harga minyak #harga rujukan #LGM #kenaikan kukuh
;