Pas berangkat olok-olok dan peraduan 'Selfie' di hari terbuka KLIA2 Ahad ini
Bernama
April 23, 2014 21:24 MYT
April 23, 2014 21:24 MYT
Terminal binaan khas terbesar di dunia untuk penerbangan tambang rendah, KLIA2, akan dibuka kepada orang ramai pada Ahad, 27 April ini (pendaftaran bermula pada pukul 9 pagi, program tamat pada 5 petang).
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan berkata hari terbuka itu membuka peluang untuk orang ramai merasai pengalaman dan meneroka lapangan terbang baharu itu sebelum ia mula beroperasi pada 2 Mei.
"Akan ada banyak aktiviti menyeronokkan menunggu pengunjung, termasuk peluang untuk melawat terminal domestik dan antarabangsa lapangan terbang itu dan merasai sendiri proses sebenar pelepasan dan ketibaan di terminal baharu itu," katanya.
Pas berangkat olok-olok akan dikeluarkan kepada pelawat semasa pendaftaran sebagai cenderahati, manakala satu lagi peluang yang tidak boleh dilepaskan ialah pengalaman menaiki jambatan Udara, Skybridge, klia2, yang pertama di Asia dan ketiga di dunia.
MAHB berkata lawatan menggunakan bas ke landasan 3 yang baharu juga akan dibuat, termasuk di kemudahan udara yang lain.
Ekoran kegilaan trend 'Selfie', MAHB mengatur peraduan foto yang diambil menggunakan telefon bimbit bagi merakam saat-saat terbaik mereka di KLIA2, dengan hadiah-hadiah menarik untuk foto yang menang.
Orang ramai tidak dibenarkan membawa barangan larangan seperti objek tajam ke lapangan terbang itu.
Terdapat tempat letak kenderaan percuma, dengan 6,000 petak berbumbung di Blok A dan B serta 5,500 petak letak kereta di kawasan D.
Bas ulang-alik disediakan untuk membawa orang ramai dari tempat letak kereta D ke terminal.
Perkhidmatan bas juga disediakan di KLIA dan LCCT-KLIA setiap setengah jam dari 9 pagi hingga 5 petang untuk membawa pengunjung ke hari terbuka KLIA2.