Parkson Holdings unjur raih RM641.424 juta via penyusunan semula dalaman

Bernama
Julai 15, 2015 15:01 MYT
Parkson Holdings, East Crest, Parkson Retail Group dan Oroleon memeterai perjanjian jual beli bagi cadangan jualan kepentingan itu pada Rabu.
Parkson Holdings Bhd dijangka meraih kira-kira RM641.424 juta menerusi pelan penyusunan semula dalaman.
Pelan itu akan menyaksikan unit milik penuh East Crest International Ltd melupuskan pegangan 67.6 peratus kepentingan dalam Parkson Retail Asia Ltd kepada Oroleon (Hong Kong) Ltd.
Oroleon merupakan unit milik penuh Parkson Retail Group Ltd yang 53.1 peratus kepentingannya dipegang oleh Parkson Holdings.
Parkson Holdings, East Crest, Parkson Retail Group dan Oroleon memeterai perjanjian jual beli bagi cadangan jualan kepentingan itu pada Rabu.
"Apabila cadangan ini selesai dilaksana, Parkson Retail Asia akan menjadi subsidiari Parkson Retail Group dan akan kekal sebagai anak syarikat Parkson Holdings menerusi kepentingan dalam Parkson Retail Group," kata Parkson Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu.
Parkson Holdings berkata cadangan itu bertujuan menggabungkan perniagaan runcit Parkson Retail Asia yang beroperasi di Asia Tenggara dengan Parkson Retail Group yang mengoperasikan perniagaan serupa di China.
Selain itu, cadangan juga membolehkan Parkson Holdings mengumpul hasil tunai yang akan diguna untuk pengembangan perniagaan, peluang pelaburan baharu dan atau modal kerja, katanya.
Apabila urus niaga itu selesai, kepentingan ekuiti efektif Parkson Holdings dalam Parkson Retail Asia akan berkurang kepada 35.9 peratus daripada 67.6 peratus yang akan menurunkan sumbangan pendapatan kepada kumpulan pada masa depan.
Bagaimanapun, cadangan itu dijangka menyumbang secara positif kepada kumpulan dalam jangka panjang.
Urus niaga dijangka selesai menjelang suku keempat tahun ini.
#East Crest #Oroleon #Parkson Holdings #Parkson Retail