Pandora Papers: MoF pertimbang siasatan jika langgar akta sedia ada

Hasimi Muhamad
Oktober 5, 2021 15:37 MYT
Setakat ini, pendirian MoF adalah kekal iaitu mana-mana individu boleh membuka akaun bersama bank-bank berlesen termasuk akaun luar pesisir. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) memberi jaminan akan mempertimbangkan siasatan berhubung laporan Pandora Papers, jika ia didapati melanggar akta kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, setakat ini, pendirian MoF adalah kekal iaitu mana-mana individu boleh membuka akaun bersama bank-bank berlesen termasuk akaun luar pesisir.
Beliau berkata demikian menjawab celahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanya adakah kementerian akan melakukan siasatan memandangkan ia melibatkan kepentingan nasional.
"Berkaitan siasatan atau tidak, sudah pasti di bawah pertimbangan MoF untuk melihat apakah langkah ke hadapan yang kita ingin lakukan.
"Sudah pasti jika mereka menyalahi Akta 758 (Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 ) dan Akta 759 (Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013), kita juga akan melakukan sesuatu supaya kita tidak akan membiarkan ketirisan berlaku di dalam negara ini," katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.
BACA: Pandora Papers: Individu boleh buka akaun bank luar pesisir - Tengku Zafrul
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memaklumkan aktiviti melibatkan luar pesisir dikawal selia oleh Labuan Financial Services Authority (LFSA).
Selain itu, sektor kewangan negara turut dikawal selia oleh BNM melalui Akta 758 dan Akta 759.
Jelas beliau, semua pelanggan yang membuka akaun di bank berlesen yang dikawal selia BNM, atau LFSA, hendaklah lulus proses usaha wajar pelanggan atau Customer Due Diligence.
#Bank Negara Malaysia #Kementerian Kewangan #Pandora Papers #RMKe-12
;