Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2023 kembali dengan edisi ketiga

Haikal Raman
Mac 21, 2023 18:37 MYT
SAS 2023 disasarkan untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 50 peserta pameran yang mewakili industri aeroangkasa dan penerbangan terbaik dunia.
KUALA LUMPUR: Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2023 bakal kembali dengan penganjuran lebih meriah dan dijangka menampilkan lebih 30 buah pelbagai pesawat dalam edisi ketiga di Skypark Regional Aviation Centre (RAC), Subang pada 7 hingga 9 September akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim berkata, SAS 2023 anjuran Invest Selangor Bhd. dan dihoskan kerajaan negeri itu terus menjadi acara rangkaian kepada pemain industri aeroangkasa khususnya penerbangan am dan perniagaan sejak 2021di rantau ini.
“Acara ini nanti menampilkan pempamer tempatan dan antarabangsa yang mengetengahkan produk dan perkhidmatan terkini dalam segmen penerbangan am dan perniagaan, pesawat sukan dan rekreasi, helikopter serta segmen dron.
“Kami mengunjurkan untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 50 peserta pameran yang mewakili industri aeroangkasa dan penerbangan terbaik dunia dalam mempamerkan pesawat mereka di atas landasan atau di reruai pameran pada acara itu,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Bertemakan 'The One & Only Business & General Aviation Show in the Region', SAS 2023 dibangunkan sebagai satu lagi inisiatif ‘pandang ke hadapan’ oleh kerajaan negeri kepada semua pihak berkaitan.
Chang Khim berkata, acara itu memberikan peluang kepada semua pihak berkepentingan berkaitan dalam mempamerkan produk dan perkhidmatan, rangkaian, dialog, perkongsian pengetahuan dan tawaran bagi menggiatkan semula industri berkenaan.
"Antara program lain dirancang semasa SAS 2023 adalah forum industri, pembentangan, aktiviti rangkaian dan sesi pendidikan khusus.
"Selain itu, terdapat juga pameran kerjaya untuk pelajar institusi pengajian tinggi dalam bidang penerbangan termasuk beberapa aktiviti untuk kanak-kanak," jelasnya yang turut menyasar sekurang-kurangnya 12,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat bagi penganjuran tahun ini.
Tambah beliau, pengunjung perdagangan yang berminat boleh merancang lawatan mereka ke SAS 2023 selama tiga hari, manakala orang ramai yang berumur lima tahun ke atas dan pelajar digalakkan untuk melawat pada hari ketiga acara itu.
Pemain industri yang berminat dan berhasrat menyertai SAS 2023 boleh menghubungi sekretariat di Invest Selangor sebelum 31 Mei untuk menikmati diskaun lima peratus bagi pendaftaran awal.
Manakala, peserta pameran yang pernah menyertai acara SAS sebelum ini pula boleh menikmati diskaun 10 peratus untuk penyertaan mereka kali ini.
Pelawat yang merancang untuk hadir dinasihatkan untuk merancang lawatan mereka dengan mendaftar dan memilih tarikh pilihan mereka di selangoraviationshow.com
#SAS 2023 #industri aeroangkasa #Pameran Penerbangan Selangor #Invest Selangor
;