Pameran Oil & Gas Asia (OGA) 2023 buka pentas lebih besar pacu bisnes transformasi tenaga

Israr Khalid
September 14, 2023 11:40 MYT
OGA 2023 menampilkan lebih 2,000 pempamer dan dijangka menyambut kehadiran lebih 25,000 pengunjung dari serata dunia.
KUALA LUMPUR: Acara perdagangan industri minyak dan gas terbesar Asia Tenggara, Oil & Gas Asia (OGA) kembali lagi buat kali ke-19 dan penganjuran tahun ini lebih besar daripada yang sebelumnya.
Mengambil kawasan seluas 20,000 kaki persegi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, ia menjadi pentas pertemuan para pemain industri di rantau ini untuk menggembleng usaha memacu momentum bisnes transformasi tenaga.
Dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, Datuk Yatimah Sarjiman, penganjuran tahun ini akan didominasi kesegeraan dalam mencari jalan baharu menyelesaikan trilema tenaga antara mengimbangi keselamatan, kelestarian serta kemampumilikan tenaga di masa hadapan.
Terasnya merangkumi bagaimana negara dan industri dapat mengurangkan pelepasan karbon, juga peranan para pemegang taruh dalam mengorak langkah menuju masa depan rendah karbon dan sifar bersih menjelang 2050 khususnya di Asia Pasifik.
“OGA mahu menjadi lebih daripada sekadar sebuah pameran, kami memberi tumpuan untuk memperkasa Malaysia sebagai hab industri minyak, gas dan petrokimia di rantau ini.
“Memandangkan transformasi ke arah tenaga yang lebih lestari menjadi agenda para rakan kerjasama kami khususnya Majlis Industri Tenaga (EIC) dan PETRONAS, jadi kami sediakan pentas untuk mereka untuk berdiskusi dan mencari solusi.
“Kami juga meletakkan bisnes sebagai keutamaan, di mana acara ini menjadi medan untuk membina daya tahan syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas tempatan serta membawa lebih banyak peluang kepada mereka,” kata Pengurus Kanan Acara OGA 2023, Derrick Yeow.
Perbualan Tenaga Asia Pasifik EIC yang diadakan bersama penganjuran OGA 2023 dibuat dalam tujuh sesi menampilkan 40 speaker, diikuti sesi Meja Bulat Kepimpinan Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia (MOGSC) membawa tema “Ketahanan Segmen OGSE adalah Kunci kepada Keselamatan Tenaga dan Agenda Peralihan.”
Persidangan tersebut disertai PETRONAS, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), England, Scotland, Singapura, Itali, Brunei, Norway dan Perancis.
Sorotan baharu di aras pameran dalam penganjuran kali ini adalah Speak OGA, di mana dialog diadakan secara terbuka untuk disertai para pengunjung yang dikendalikan pakar-pakar daripada rakan penganjur untuk memberi cerapan terhadap agenda landskap tenaga ASEAN, Revolusi Perindustrian Keempat (IR4) dan petrokimia hiliran.
OGA 2023 membawakan tujuh pavilion antarabangsa dari China, Jerman, Itali, Singapura, Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang akan melayan kunjungan kira-kira 25,000 jangkaan pengunjung dari serata dunia untuk mencipta dan mengukuhkan rangkaian bisnes serta peluang baharu dalam era transformasi tenaga ini.
PETRONAS terus menjadi rakan korporat OGA 2023 yang berlangsung selama tiga hari di samping penaja lain, antaranya ABB Group, Aveva, EXS Synergy, HHA Associates, Italian Trade Agency, MATCOR, McDermott, TNF Energy, Torr Energy, Wellpro Group, dan Yokogawa.
Rakan penyokong lain acara tersebut turut melibatkan Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA), Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC), Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
OGA 2023: Lebih besar, pentas pacu momentum transformasi tenaga
#OGA #EIC #Petronas #transformasi tenaga
;